TINJAUAN orang ramai di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR. FOTO Aswadi Alias
TINJAUAN orang ramai di Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR. FOTO Aswadi Alias
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Keadaan ekonomi ketika ini antara faktor memberi kesan kepada kuasa membeli orang ramai yang dilihat semakin mengecil kerana mereka lebih gemar 'mencuci mata' dan meninjau harga berbanding membuat pembelian terus.

Tinjauan Harian Metro di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur@Lorong Tuanku Abdul Rahman, di sini, kelmarin, mendapati lokasi tumpuan itu sememangnya sesak dengan orang ramai, namun rata-rata peniaga yang ditemui mengakui kuasa membeli agak berkurangan.

Peniaga baju, Mohd Firdaus Hadi, 28, mengakui trend jualan baju raya tahun ini agak perlahan hingga menurun hampir 50 peratus berbanding tahun lalu.

Menurutnya, sebuah lagi gerai pakaiannya di Danau Kota, di sini, juga mengalami nasib serupa dan dia tidak menolak situasi ekonomi ketika ini selain ada yang sudah membuat persiapan awal menyebabkan orang ramai lebih suka 'mencuci mata'.

"Bukanlah tiada langsung orang membeli, cuma tidak meriah sahaja seperti tahun lalu yang boleh dikatakan memang tak menang tangan sebab waktu macam ini biasanya sudah banyak bekalan baju habis terjual.

"Sekarang bekalan baju juga masih banyak dan memang terasa yang tahun ini orang kurang membeli. Mereka lebih suka berjalan tengok barang dan tanya harga terlebih dahulu," katanya.

PENGUNJUNG membanjiri Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR untuk membeli belah persiapan raya. FOTO Aswadi Alias
PENGUNJUNG membanjiri Bazar Aidilfitri KL @ Lorong TAR untuk membeli belah persiapan raya. FOTO Aswadi Alias

Peniaga kain pelikat, Shaupi Harun, 62, berkata, gerainya dikunjungi ramai pengunjung tetapi hanya beberapa orang sahaja yang membeli manakala selebihnya meninjau harga.

Dia juga mengakui jualannya merosot hampir 60 peratus berbanding tahun lalu.

"Tahun sebelum ini kita letak sahaja kain, terus orang 'sambar' (beli) hingga malam raya tetapi sekarang berbeza.

"Biarpun memang ramai singgah tetapi yang membeli hanya beberapa orang sahaja setakat ini.

"Bekalan kain diambil untuk Aidilfitri masih banyak belum terjual dan saya juga akan memberi potongan harga terutama kepada yang beli lebih kerana mahu menghabiskan bekalan," katanya.

SEORANG kanak-kanak mencuba baju raya. FOTO Aswadi Alias
SEORANG kanak-kanak mencuba baju raya. FOTO Aswadi Alias

Peniaga kasut, Mohd Firdaus Abu Sharrif, 28, berkata, jualan tahun ini dilihat kurang memberangsangkan berbanding tahun lalu biarpun kehadiran pengunjung tetap ramai.

"Bukan tiada pengunjung dan kehadiran orang ramai memang meriah tetapi urusan jual beli sahaja yang tidak semeriah seperti dahulu terutama hujung minggu dan hari cuti.

"Mungkin situasi ekonomi memainkan peranan sebab sekolah juga baru dibuka sebelum ini yang membuatkan orang ramai kurang membeli.

"Jika pelanggan mahu potongan harga, saya boleh beri, cuma kalau terlalu banyak diminta, tidak dapatlah," katanya.

PENGUNJUNG menunggu di kaki lima sementara ahli keluarga membeli-belah. FOTO Aswadi Alias
PENGUNJUNG menunggu di kaki lima sementara ahli keluarga membeli-belah. FOTO Aswadi Alias

Sementara itu, pekerja gerai tudung dan baju yang dikenali sebagai Ina, 40-an, berkata, orang ramai dilihat lebih suka berjalan santai dan mencuci mata berbanding membuat pembelian terus.

"Tahun ini memang ketara tidak berapa ramai sangat yang membeli berbanding tahun lalu.

"Dahulu waktu seperti ini yang berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum Aidilfitri memang sudah banyak tudung terjual tetapi sekarang biasa sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 7:20 AM