ANIS menunggang Yamaha RXZ dengan memakai baju kurung ke sekolah. FOTO ihsan Anis Fariza Ahmad
ANIS menunggang Yamaha RXZ dengan memakai baju kurung ke sekolah. FOTO ihsan Anis Fariza Ahmad
Noor Hidayah Tanzizi


Petaling Jaya: Terpaksa menempuh kesesakan di lebuh raya sehingga perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa 30 minit menjadi dua jam, mendorong guru wanita ini menunggang motosikal ke sekolah setiap hari.

Namun apa yang uniknya, motosikal ditunggang Anis Fariza Ahmad, 33, ialah Yamaha RXZ Restore Catalyzer keluaran 1990-an malah guru di sebuah sekolah menengah, di sini, menunggang jentera itu dengan memakai baju kurung.

Anis Fariza berkata, dia baru beberapa minggu menunggang motosikal ke sekolah dan mengakui ia lebih memudahkan perjalanannya yang sudah tidak perlu lagi menempuh kesesakan jalan raya.

Menurutnya, sebelum ini dia memandu kereta namun tidak tahan menghadap kesesakan setiap kali mahu pulang ke rumahnya di Shah Alam dan mengadu masalah itu kepada abangnya.

"Abang kemudiannya menyuruh saya menunggang motosikal, kebetulan dia ada tiga Yamaha RXZ dan sebuah Kawasaki Kips Cyclone dan sejak itu saya menunggang motosikal ke sekolah.

"Saya memang pandai menunggang motosikal ada 'klac'. Sebelum itu, ketika latihan praktikal 10 tahun lalu saya sudah menunggang Kips Cyclone dan boleh kata sudah biasa menunggang jentera seperti itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, dia mengajar pada sesi petang yang mana waktu persekolahan tamat pada 5.30 petang yang juga waktu puncak kesesakan jalan raya dan hanya akan tiba di rumah jam 7.30 malam.

"Sebagai guru sudah pasti saya akan memakai baju kurung tetapi itu bukan penghalang buat saya untuk menunggang motosikal kerana saya akan pakai kasut sukan dan bawa beg galas belakang.

"Seperti wanita lain, saya juga akan pakai seluar di dalam kain dan memastikan kain 'diselit' kemas di kaki supaya kain tidak tersangkut dalam tayar atau rantai motosikal," katanya yang mengajar subjek reka bentuk teknologi dan pendidikan seni visual.

Menurut Anis Fariza, dia lebih minat dan sudah biasa menunggang motosikal dua silinder, malah turut mengakui berasa kekok jika menunggang motosikal empat silinder.

"Ketika di jalan raya ada beberapa penunggang lelaki akan angkat tangan kepada saya dan ada juga yang teruja melihat saya memakai baju kurung tetapi menunggang RXZ termasuk murid saya.

"Saya memang tidak pakai jaket atau baju sejuk ketika menunggang kerana cepat berpeluh dan akan 'redah' saja dengan baju kurung serta kasut sukan. Niat saya mahu tiba ke sekolah dengan selamat untuk mendidik anak murid," katanya.

Anis Fariza yang berpengalaman hampir lima tahun sebagai guru berkata, Yamaha RXZ sememangnya lebih sinonim dengan penunggang lelaki, namun dia mengakui jantina bukan penghalang untuknya menunggang motosikal jenis itu.

Katanya, ketika mula menunggang motosikal itu 10 tahun lalu di kampung halaman, dia berhadapan stigma masyarakat yang beranggapan perempuan tidak sepatutnya menunggang motosikal terutama jenis 'klac' dan berkapasiti kuasa lebih besar.

"Ada stigma yang melihat perempuan tunggang motosikal seperti itu tiada masa depan selain turut dianggap 'minah rempit'. Itu yang saya pulangkan motosikal kepada abang ketika itu.

"Alhamdulillah, sekarang semua baik, malah rakan guru lain juga tidak kisah dan murid terutama lelaki turut teruja melihat motosikal itu. Ibu juga tak kisah saya menunggang motosikal asalkan tahu menjaga keselamatan di jalan raya.

"Ada juga rakan lelaki beritahu mereka teruja sebab saya menunggang motosikal ada 'klac' kerana mereka tidak pandai menunggangnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 3:47 PM