Seorang peniaga pasar malam maut di tempat kejadian dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di KM 166.6 Lebuhraya Pantai Timur ( LPT) pada jam 1055 pagi hari ini. FOTO Ihsan IPD Maran
Seorang peniaga pasar malam maut di tempat kejadian dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di KM 166.6 Lebuhraya Pantai Timur ( LPT) pada jam 1055 pagi hari ini. FOTO Ihsan IPD Maran
Amir Hamzah Nordin


Maran: Peniaga pasar malam yang dalam perjalanan ke program RXZ Fighter Gathering di Kuantan, Pahang maut selepas terbabas di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hari ini.

Dalam kejadian 10.55 pagi itu, Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, dari Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar, Perak yang menunggang motosikal Yamaha RXZ maut di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama 14 rakan berkonvoi dengan motosikal dari Kuala Kangsar menghala ke Kuantan bagi menyertai program berkenaan.

"Ketika kejadian, mangsa berada paling belakang konvoi berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Zamri berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 4:16 PM