INUR Ain Mardhiah peminat dunia permotoran, tak pernah tinggalkan anak setiap kali berkonvoi.
INUR Ain Mardhiah peminat dunia permotoran, tak pernah tinggalkan anak setiap kali berkonvoi.
Oleh Zaid Salim


SUSUK tubuhnya kecil molek saja, kelihatannya seperti seorang wanita lemah lembut dan bersopan santun. Namun di sebalik kelembutan itu, wanita muda ini memiliki jiwa kental dan gemarkan aktiviti lasak dan aktif dalam sukan permotoran.

Biarpun tidak pernah menyertai sebarang perlumbaan, minat mendalam terhadap dunia permotoran membuatkan ibu kepada dua anak ini sanggup menerima cemuhan dan pandangan serong masyarakat sekeliling yang tidak selesa dengan aktiviti yang diceburinya.

“Saya mula meminati aktiviti permotoran ini selepas suami, Mohd Tarmizi Pozi, 32, menghadiahkan sebuah motosikal Yamaha RXZ pada 2011.

“Tidak sangka dapat memiliki motosikal sendiri ketika itu, tetapi pada masa sama saya amat teruja. Saya memang meminati Yamaha RXZ dan mengimpikan untuk memiliki motosikal berkenaan. Saya terharu apabila suami membuat kejutan menghadiahkan motosikal itu kepada saya,” kata Inur Ain Mardhiah Hassan memulakan bicara.

“Saya mula meminati aktiviti permotoran selepas berumah tangga kerana suami memiliki motosikal dan sering membawa berkonvoi bersama rakan pengguna motosikal jenis ini.

“Saya meminati Yamaha RXZ kerana sejak berkahwin sering menggunakan motosikal suami. Agaknya sebab itulah dia membelikan saya motosikal sendiri selepas yakin dengan kemampuan saya menunggang kenderaan berkenaan.

“Selain itu, Yamaha RXZ bagi saya lain daripada yang lain dan memberikan kepuasan tersendiri apabila menunggangnya,” katanya ketika ditemui bersama rakan menunggang RXZ di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini.

Wanita yang gemar membahasakan dirinya sebagai Ain berusia 28 tahun ini adalah suri rumah sepenuh masa dan ibu kepada dua anak, Nur’Aisyah Marissa, 9, serta Mohamad Athif Marwan berusia setahun tiga bulan.

Jelasnya, sebaik memiliki motosikal sendiri, aktiviti konvoinya semakin aktif selepas menyertai kumpulan Ladies Road Ganu & Kelantan. Sejak itu, banyak tempat yang sudah dijelajahi menerusi aktiviti berkonvoi.

Menariknya, wanita yang bersikap ceria dan disenangi rakan ini tidak pernah meninggalkan dua anaknya setiap kali menyertai aktiviti berkonvoi sebaliknya membawa bersama kanak-kanak itu sekali gus menjadi peneman dia dan suami walau ke mana saja tempat dituju.

Berasal dari Chalok, Setiu, Inur Ain Mardhiah mengakui minat terhadap motosikal semakin mendalam selepas suami menghadiahkan pula motosikal Yamaha Y15.

“Walaupun teruja memiliki sebuah motosikal yang menjadi idaman kaki motosikal masa kini, saya lebih teruja menunggang Yamaha RXZ kerana ia memiliki keistimewaan tersendiri,” katanya yang kini tinggal di Gua Musang, Kelantan kerana mengikuti suami yang bertugas sebagai kakitangan Felda Technoplant Sdn Bhd.

Inur Ain Mardhiah berkata, dia gemar mengikuti aktiviti berkonvoi kerana ia dapat menenangkan jiwa selain mengeratkan silaturahim sesama rakan permotoran khususnya yang baru dikenali.

Menurutnya, selain dapat menimba banyak pengalaman, berkonvoi juga disifatkannya sebagai aktiviti yang mengajar erti kepayahan dan kesenangan dalam kehidupan.

“Bak kata pepatah, ‘jauh perjalanan luas pemandangan’ dan dengan berkonvoi saya, suami serta anak secara tidak langsung dapat melancong ke destinasi baharu. Boleh dikatakan sehingga kini sudah banyak tempat dalam negara saya jejaki dengan aktiviti berkonvoi selain luar negara seperti Thailand,” ujarnya.

Setiap aktiviti tentu ada kenangan pahit dan manis dan bagi wanita ini, pengalaman manisnya adalah dapat bertemu rakan baharu selain berpeluang berkumpul dengan geng motor Ladies Road Ganu & Kelantan.

Katanya, kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan adalah ketika terbabit dalam kemalangan pada 2016 yang mengakibatkan dia mengalami kecederaan.

“Alhamdulillah kecederaan saya alami tidak serius dan ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkonvoi,” katanya.

Inur Ain Mardhiah juga menasihatkan mereka yang meminati atau sudah menceburi dunia permotoran sentiasa menjaga dan mementingkan keselamatan diri.

“Selain itu, patuhilah undang-undang jalan raya ketika menunggang atau berkonvoi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 5:00 AM