Ahmad Rabiul Zulkifli


Hulu Terengganu: "Motosikal ini terlalu bermakna, saya tidak bercadang menjualnya walaupun ditawarkan dengan harga RM50,000, " kata Nik Zahari Wan Omar.

Gambar Nik Zahari, 58, dari Kampung Pela, Ajil bersama motosikal Yamaha RX-Z model 5 Speed keluaran pertama 1985 tular di media sosial apabila ditawarkan harga RM50,000 oleh seorang ahli perniagaan tempatan, baru-baru ini.

Bagaimanapun Nik Zahari atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Ngoh Nik enggan menjualnya kerana motosikal itu terlalu bernilai dan mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Tok Ngoh Nik berkata, dia membeli motosikal itu pada 1985 dengan harga RM3,300 secara ansuran.

"Tidak kisahlah berapa harga yang sanggup ditawarkan, hati saya tidak terbuka lagi untuk menjualnya.

"Motosikal itu terlalu banyak berjasa kepada saya selama ini, sejak daripada muda saya menjaganya dengan baik dan menyertai banyak konvoi ke seluruh negeri.

"Ramai kenalan yang menyarankan saya menjualnya dan wang hasil jualan boleh digunakan untuk kegunaan masa depan termasuk membeli tanah dan sebagainya namun saya tetap enggan berbuat demikian," katanya.

Dia berkata, nombor pendaftaran pada motosikal itu juga menjadi perhatian dan kegilaan orang ramai.

"Nombor pendaftaran TC 13 itu keluaran 1974 dan pernah seorang peniaga menahan saya di tengah jalan semata-mata ingin membeli nombor pendaftaran itu.

"Dia tawar RM20,000 secara tunai tetapi saya tidak berminat menjualnya dan terbaru seorang peniaga sanggup membelinya dengan berapa saja harga yang saya tetapkan.

"Saya masih berat hati untuk menjualnya sekarang tetapi tidak pasti pada masa akan datang," katanya yang juga pemandu lori kelapa sawit.

Menurutnya, motosikal itu istimewa kerana semua komponen kekal dengan barangan tulen.

"Walaupun motosikal itu sudah berusia 36 tahun dan pernah digunakan di ladang kelapa sawit namun semua komponen motosikal kekal baik dan terjaga rapi.

"Setiap kali menyertai konvoi atau perhimpunan RX-Z, motosikal itu akan menjadi tumpuan untuk bergambar dan ia memberi kepuasan kepada saya.

TOK Ngoh Nik mengelap motosikal RX-Z 5 Speed keluaran 1985 miliknya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
TOK Ngoh Nik mengelap motosikal RX-Z 5 Speed keluaran 1985 miliknya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

"Saya tidak pernah terfikir, motosikal yang pernah memasuki ladang kelapa sawit itu akan menjadi perhatian ramai sekarang," katanya.

Sementara itu, anaknya, Nik Muhammad Izzuddin Nik Zahari, 29, berkata, dia juga peminat RX-Z dan berasa bertuah kerana berpeluang menaiki motosikal keluaran pertama itu.

"Saya juga tidak rela sekiranya ayah menjual RX-Z 5 Speed itu kerana mustahil untuk mendapatkannya semula.

"Walaupun saya mempunyai RX-Z Millenium dan RX-Z Catalyzer namun kedua-duanya tidak boleh menandingi keseronokan menaiki RX-Z 5 Speed itu," katanya.

Menurutnya, RX-Z 5 Speed kepunyaan bapanya itu sudah dikenali ramai, oleh itu tidak hairan ramai peminat datang ke rumah untuk melihat motosikal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 10:34 AM