FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Disebabkan bimbang perbuatan mereka 'dihidu' oleh pihak berkuasa kesihatan, individu yang menawarkan khidmat doktor gigi palsu di negara ini semakin licik.

Siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati mereka kini menggunakan pelbagai modus operandi termasuk sentiasa bergerak atau berpindah-randah tanpa lokasi tetap selain menetapkan temujanji terlebih dahulu dengan 'pelanggan.'

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM Dr Noormi Othman berkata, pemeriksaan mendapati mereka yang membuat temujanji dengan individu yang menawarkan khidmat rawatan pergigian perlu membayar deposit yang tinggi.

"Nak buat temujanji, anda kena bayar deposit dahulu. Minimum antara RM1,200 hingga RM1,500 untuk mendapatkan rawatan. Ia bukan murah. Dia akan bagi tahu bila dan tempat temujanji dalam masa beberapa jam sebelum mendapatkan rawatan.

"Dia tidak akan beritahu awal sebab tak mahu orang lain terhidu aktivitinya. Penguat kuasa KKM juga berkata, (sekarang ini) dia (doktor palsu) nak tengok muka orang yang nak buat temujanji itu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Dr Noormi berkata, tujuan mereka ini adalah bagi 'mengumpul muka' pegawai penguat kuasa KKM supaya dapat mengelakkan daripada tertangkap.

"Dulu dia tak minta nak tengok muka orang yang berkomunikasi. Sekarang dia nak tengok, dia buat macam FaceTime," katanya.

Katanya, kegiatan ini banyak dilakukan di Lembah Klang serta tempat yang dilakukan adalah seperti di hotel.

"Mereka (doktor palsu) ini sentiasa bergerak, satu Malaysia dia akan pergi yang mana paling banyak di Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kalau sini (satu kawasan) penguatkuasaan kuat, dia akan bergerak ke tempat lain. Mungkin dia akan pergi ke tempat yang agak kurang perkhidmatan pergigian dan boleh buat duit di situ," katanya.

Dr Noormi berkata, mengikut statistik tahun lalu, sebanyak 23 aktiviti penguatkuasaan dijalankan terhadap perkhidmatan pergigian yang tidak berdaftar.

Menurutnya, mereka yang melakukan rawatan pergigian palsu ini membabitkan warganegara dan juga bukan warganegara.

Selain itu, katanya, dari segi jumlah kos rawatan, ia mungkin boleh mencapai sehingga RM4,000 bergantung kepada rawatan yang diminta individu terbabit.

Beliau berkata, apa yang dibimbangi pihaknya adalah individu yang menerima rawatan daripada perkhidmatan doktor palsu ini akan menghadapi masalah kemudian hari.

"Dia (doktor palsu) tidak ada (rawatan) susulan. Individu itu akan mencari selepas itu. Nak dapat dekat mana rawatan susulan?

"Contohnya (rawatan) dibuat ada masalah gusi ke, dia sudah tidak peduli lagi," katanya.

Dr Noormi turut mendedahkan, sebelum 'mangsa' menerima rawatan pergigian, mereka juga dikehendaki untuk menandatangani kontrak agar tidak membocorkan perjanjian yang dibuat.

Menurutnya, perkara ini dimaklumkan oleh individu yang sebelum ini mendapatkan rawatan pergigian palsu kepada doktor gigi bertauliah.

Katanya, pihaknya juga mendapati individu yang mendapat rawatan pergigian daripada doktor palsu adalah disebabkan faktor kemahuan atau trend.

"Mungkin nakkan perhatian. (Contohnya) dia sudah pergi ke klinik gigi tapi keadaan gigi dia tidak perlukan dibuat braces. Braces ini juga kena tengok kes.

"Disebabkan tidak berpuas hati tidak memperoleh apa yang dimahukan, ia menyebabkan individu ini mendapatkan perkhidmatan pergigian palsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 7:50 AM