Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
BERNAMA

POLIS Kelantan memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menjual atau bermain mercun, termasuk yang diubahsuai kerana perbuatan itu adalah berbahaya selain menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, perbuatan pihak tertentu yang menyeludup masuk mercun dan bunga api dari negara jiran untuk dijual secara haram ketika musim perayaan adalah perbuatan salah.

Beliau berkata, tindakan itu seolah-olah satu ‘penganiayaan’ kepada penduduk di negeri ini kerana jika berlaku kemalangan akibat mercun pasti akan meninggalkan trauma berpanjangan kepada mangsa.

Katanya, hanya bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan membakar yang boleh membahayakan keselamatan.

“Bagaimanapun, penjualan kedua-dua jenis mercun berkenaan masih memerlukan permit Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berkaitan dan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Sesiapa yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, malam tadi.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka yang terbabit boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Hasanuddin berkata, bermain, membakar mercun dan bunga api juga dilarang serta boleh dihukum penjara tidak melebihi satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Katanya, kewujudan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Kelantan-Thailand antara lain menghalang kemasukan bahan berkenaan ke negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sepanjang Ramadan sudah ada dua kes kemalangan akibat bermain mercun yang diubahsuai daripada mercun bola di negeri ini.

“Kita turut menangkap peniaga terbabit termasuk terbaru di Pasar Borong Wakaf Bata, Machang, semalam membabitkan seorang wanita berusia 46 tahun.

“Wanita itu ketika ditahan didapati memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM500,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 9:58 AM