MUHAMMAD Mursyidi Morad. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Mursyidi Morad. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ZULKEFLY Hassan. FOT O Noorazura Abdul Rahman
ZULKEFLY Hassan. FOT O Noorazura Abdul Rahman
PENDUDUK menunjukkan ke arah kawasan perlombangan unsur nadir bumi radioaktif (NR-REE) di Bukit Enggang pada 8 Oktober lalu. FOTO arkib NSTP
PENDUDUK menunjukkan ke arah kawasan perlombangan unsur nadir bumi radioaktif (NR-REE) di Bukit Enggang pada 8 Oktober lalu. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Penduduk berhampiran Bukit Enggang, Sik melahirkan rasa lega dan lebih tenang selepas sindiket perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di bukit itu dibanteras.

Menurut penduduk Kampung Chong, Sik, Muhammad Mursyidi Morad, 70, selepas pihak berkuasa membuat serbuan, hujung bulan lalu, tiada lagi kelibat lori atau kenderaan yang mencurigakan naik ke bukit itu.

"Sebelum ini saya sering melihat lori dan kenderaan mewah masuk ke jalan balak yang hanya bertentangan dengan rumah saya. Keadaan ini membuatkan kami sering tertanya-tanya apa yang sering berlaku.

"Tapi sekarang kami rasa lega dan tenang apabila tiada lagi kegiatan perlombongan haram di atas Bukit Enggang, yang ada pun cuma lori dan kenderaan yang biasa kami lihat untuk projek tanaman durian Musang King," katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi penduduk, Zulkefly Hassan, 54, berkata, dia berpuas hati selepas sindiket itu berjaya dilumpuhkan.

Katanya, segala kemusyikilan penduduk setempat sudah terungkai dan mereka sudah mampu tidur lena.

"Cuma saya berharap semua mesin dan peralatan yang digunakan untuk melombong unsur nadir bumi di kawasan bukit berkenaan disita dan dibawa keluar dari sana segera oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK).

"Sebelum ini, saya difahamkan setiap kali ada kesalahan berkaitan JPNK yang dilakukan orang awam, segala peralatan seperti mesin gergaji dan motosikal dirampas dan dibawa ke stor JPNK di Jeniang. Jadi saya harap barang mereka juga akan dirampas segera walaupun peralatan dan mesin mereka besar.

"Bukan apa, saya bimbang ada pula kumpulan lain yang 'menyambung' kerja melombong di atas bukit," katanya.

Sebelum ini, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan berlaku kegiatan perlombongan haram di Hutan Simpan Bukit Enggang yang dikesan menggunakan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Sistem Pemantauan Hutan Menggunakan Penderiaan Jauh (FMRS).

Berikutan itu, JPNK bertindak menyerbu lokasi Kompartmen 12 hutan simpan berkenaan dan menahan seorang lelaki warga China dan hasil nadir bumi bernilai jutaan ringgit.

Media turut melaporkan kerajaan negeri mengesahkan berlakunya kegiatan mencuri NR REE, namun tidak membabitkan syarikat yang dibenarkan melakukan kajian di tapak berkenaan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 2:06 PM