BOTOL air ketum yang dirampas. FOTO IHSAN PDRM
BOTOL air ketum yang dirampas. FOTO IHSAN PDRM
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam selepas disyaki menjual dan mengedar air ketum di Presint 9, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner, A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 12 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Menurutnya, suspek ditahan ketika berada di lobi sebuah apartmen penjawat awam Presint 9, kerana memiliki dua botol cecair disyaki air ketum.

Katanya, hasil tindakan susulan, polis merampas lima lagi botol plastik disyaki berisi air ketum menjadikan jumlah yang dirampas sebanyak 10.5 liter.

"Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan jenayah narkotik dan jenayah hartabenda," katanya ketika dihubungi hari ini.

Asmadi berkata, suspek mendapat bekalan seminggu sekali dari pembekal di Labu Lanjut, Sepang dan menjual dengan harga RM18 sebotol.

Beliau berkata, suspek disyaki menjalankan aktiviti perniagaan air ketum di kawasan ini dengan mensasarkan pelanggan tetap dari kalangan kenalan.

"Suspek dibawa ke IPD Putrajaya untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3), Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 11:53 AM