NURUL Wafa bersama rakan-rakanya berbuka puasa. FOTO Ihsan Nurul Wafa Mazli
NURUL Wafa bersama rakan-rakanya berbuka puasa. FOTO Ihsan Nurul Wafa Mazli
Nisaa Iryanie Azhar

Kuala Lumpur: Perbezaan tempoh masa, budaya dan suasana pada bulan puasa tidak memutuskan semangat anak perantau untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan penuh barakah.

Penuntut tahun akhir kuliah pergigian Universiti Al-Azhar, Nurul Wafa Mazli, 23, berkata, bulan Ramadan adalah bulan yang penuh ibadah, masyarakat Mesir berlumba untuk berbuat kebaikan bermula dari bersedekah kurma hingga menjamu orang yang berbuka puasa.

"Mereka mempunyai budaya unik mengenjutkan penduduk sekitar untuk bangun bersahur dengan memukul gendang atau yang dikenali sebagai 'mesaharati' dari lorong ke lorong mulai jam 12 sehingga subuh

"Selain itu aktiviti masjid 'hopping' menjadi aktiviti utama kami bila tiba bulan Ramadan untuk merasa pengalaman bertarawih di masjid yang berbeza seperti masjid yang habiskan solat tarawih sekitar jam 12 tengah malam dan ada juga bacaan qunut hampir 40 minit," katanya.

Tambah Nur lagi, ketika waktu berbuka di sudut jalan akan menyediakan Maidatu al Rahman yang bermaksud Hidangan dari Tuhan yang Maha Penyayang. Hidangan tersebut adalah infaq dari para dermawan di Mesir yang diberikan kepada warga setempat dan mahasiswa.

"Suasana bulan Ramadan mereka seperti kemeriahan kita menyambut syawal di Malaysia. Lampu berwarna warni menghiasi jalan. Saya tertarik dengan aktiviti orang Arab ini yang menghidupkan bulan Ramadan penuh dengan amal kebaikan.

"Suasana terawih juga boleh dikatakan kesemua masjid yang besar mahupun kecil penuh sehingga malam terakhir bulan Ramadan dengan berbagai lapisan umur tak kira tua muda.

Katanya lagi, hampir semua pelajar perubatan atau pergigian yang belajar di Universiti Al Azhar adalah pelajar dari agensi MedicMesir.

"MedicMesir menyokong dan menyediakan bajet sekitar RM57,000 untuk pelajar menjalankan aktiviti berbuka puasa selain mengedar bahan mentah kepada pelajar dan penduduk tempatan.

Manakala bagi pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan mekanikal di Birmingham City University, United Kingdom, Danial Mohamad Darus, 23, berkata, dia amat merindui makanan Malaysia yang mempunyai keunikan tersendiri.

"Hidup selama bertahun di sini membuatkan saya rasa yang Malaysia sangat dilimpahi oleh kenikmatan, kepuasan serta kepelbagaian dalam konteks makanan.

"Makanan halal lebih mudah dicari di sini, namun jika teringin makanan seperti rendang, ketupat palas, ataupun pulut durian, itu boleh mendatangkan 'masalah' buat saya," katanya.

DANIAL (tengah) bersama rakan-rakannya di dalam majlis berbuka puasa anjuran universitinya.  FOTO Ihsan Danial Mohamad Darus
DANIAL (tengah) bersama rakan-rakannya di dalam majlis berbuka puasa anjuran universitinya. FOTO Ihsan Danial Mohamad Darus

Kata Danial, dia lebih senang memasak sendiri hidangan mudah untuk berbuka yang menepati seleranya.

"Kebiasaannya saya akan masak makanan yang menggunakan bahan yang mudah didapati di Pasar Asia.

"Tetapi kalau mahu menggunakan kerisik, saya pun pening bagaimana mahu mendapatkannya. Jintan manis dan jintan putih pun saya tidak tahu inikan pula durian, ia hampir mustahil," katanya.

Tambah Danial lagi, kebiasaan tempoh berpuasa 16 hingga 17 jam sehari tetapi menariknya tahun ini, Ramadan pertama hingga ketiga tempoh berpuasa hanya 14 jam kerana tiga hari pertama jatuh pada waktu musim sejuk (Greenwich Mean Time).

Bagi penuntut tahun ketiga Ijazah Kejuruteraan Pesawat Institut Penerbangan Moscow, Luthfi Haqeem, 23, berkata, rakan sekelasnya yang bukan beragama Islam sering bertanya keadaan mereka ketika bulan Ramadan.

"Mereka selalu bertanya keadaan kami dan risau jika kami tidak mampu untuk meneruskan puasa,

"Ada juga yang tanya bagaimana kami boleh tahan lapar dan dahaga selama sebulan, katanya.

Katanya Lutfi, pengalaman yang terindah adalah melakukan tarawih bersama rakan-rakan kerana tahun ini adalah tahun terakhir dirinya berpuasa di bumi Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 5:04 PM