PENUNTUT di Universiti Al-Azhar, Mesir ketika menyambut Aildilfitri tahun lalu.
PENUNTUT di Universiti Al-Azhar, Mesir ketika menyambut Aildilfitri tahun lalu.
Fazurawati Che Lah

BERPUASA selama 19 jam. Kedengarannya macam tidak percaya, tetapi itu yang dilalui sesetengah umat Islam terutama di benua Eropah yang berpuasa dalam tempoh amat panjang.

Cabaran berpuasa rakyat Malaysia di perantauan dalam suasana persekitaran budaya dan masa yang berbeza memberikan pengalaman pahit manis.

Ia turut dilalui seorang penuntut, Batrisyia Elena Roslan, 22, di Jerman.

Penuntut Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu menyambung pengajian di negara itu sejak 10 September tahun lalu, mengakui berdepan pengalaman Ramadan yang berbeza pada tahun ini apabila berjauhan dengan keluarga selain cabaran pandemik Covid-19.

Batrisyia Elena antara 19 penuntut yang kini mengikuti pengajian program dwiijazah hasil kerjasama UMP dengan dua institusi Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) dan Hochschule Reutlingen University.

"Pengkuliahan di sini dilakukan secara atas talian pada masa sekarang. Kami menggunakan platform seperti Zoom, Microsoft Teams dan Webex.
Tarikh pengkuliahan secara fizikal masih dalam perbincangan pihak universiti dan kerajaan negeri Baden-Wurttemberg, katanya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu menjalani puasa sehingga 18 jam kerana siang yang lebih panjang dari malam berikutan negara itu mengalami musim bunga.

"Pada mulanya agak mencabar berpuasa di perantauan. Selalunya ibu yang akan menghidangkan juadah berbuka, tapi kali ini saya sendiri perlu berfikir untuk memasak juadah apa untuk berbuka. Keenakan lauk juga tidak sama seperti masakan ibu.

"Waktu Isyak pada jam 10 malam dan solat Tarawih selalunya habis pada 11 malam. Waktu Imsak pula pada 4 pagi. Masa singkat menyebabkan saya selalunya hanya makan sebiji kurma kerana masih kenyang lauk berbuka, katanya.

NIK Adam (kiri) bersama rakan yang mengikuti program pertukaran UTM.
NIK Adam (kiri) bersama rakan yang mengikuti program pertukaran UTM.

Batrisyia Elena memberitahu, pada permulaan pandemik Covid-19, beliau menghadapi kesukaran untuk membeli roti. Namun barang keperluan asas masih mudah untuk didapati.

"Di sini tiada 'lockdown' namun digalakkan untuk duduk di rumah. Kedai kebanyakannya belum dibuka dan kedai makanan hanya dibenarkan bungkus.

"Kebajikan pelajar di sini turut dijaga baik kedua-dua universiti. Mereka sentiasa bertanya khabar kami di sini. Kami juga menerima pelitup muka dan makanan daripada UMP, antaranya makanan seperti sardin dan biskut, katanya yang bakal merindui juadah tradisi keluarganya iaitu rendang daging masamah pada Aidilfitri ini.

Mengikuti program pertukaran pelajar, Nik Adam Danish Nik Joharris dari pengajian kejuruteraan perisian, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini berada di Metropolia University of Apllied Sciences, Finland nyata merasai pengalaman berpuasa sehingga 19 jam.

Katanya, kali pertama berjauhan sehingga puluhan ribu kilometer dari keluarga serta berpuasa di bumi asing berseorangan sedikit sebanyak memberi cabaran kepadanya kerana berdepan tempoh puasa yang panjang dengan suhu sejuk sehingga enam darjah Celsius.

"Ini pengalaman kali pertama saya menjalani ibadat puasa seorang diri dan jauh dari keluarga. Di Finland, waktu sahur adalah pada jam 2.30 pagi dan berbuka pada 9.40 malam.

"Jarak antara berbuka dengan sahur sangat suntuk. Selepas berbuka, solat Maghrib dan Isyak, diikuti solat Tarawih, kemudian terus bersahur, katanya.

Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, Finland turut menjalankan perintah pergerakan terhad, namun sekarang penduduk sudah bebas untuk bergerak berbanding dua bulan lalu sejak pandemik Covid-19.

JUADAH dari Malaysia turut dimasak bagi mengubati rasa rindu kepada keluarga.
JUADAH dari Malaysia turut dimasak bagi mengubati rasa rindu kepada keluarga.

Berbeza pula dengan penuntut dari Shah Alam, Selangor, Nur Syafiqah Amanina Sohaimi yang kini mengikuti program Perubatan di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir apabila sudah enam tahun tidak pulang beraya bersama keluarga tercinta.

Katanya, pada tahun ini Ramadan jatuh pada musim panas dengan suhu mencecah 45 darjah Celsius, keadaan Covid-19 memberi sedikit kelegaan apabila dia tidak perlu ke kuliah, sekali gus mengurangkan rasa letih berpuasa kerana banyak masa dihabiskan di rumah.

"Keadaan Covid-19 di sini memberi impak yang agak besar pada Ramadan tahun ini kerana setiap tahun pada bulan puasa akan diadakan banyak Maidah Rahman iaitu majlis berbuka puasa percuma yang disumbang untuk orang ramai yang memerlukan, tetapi tahun ini tidak diadakan kerana kerajaan tidak membenarkan berkumpul beramai-ramai.

"Aktiviti masjid-hopping iaitu solat Tarawih di masjid yang berbeza setiap malam sepanjang Ramadan juga tidak dapat dilakukan. Di Kaherah banyak masjid yang cantik dan mempunyai sejarah sejak zaman peradaban Islam, katanya.

Nur Syafiqah Amanina memberitahu, suasana Aidilfitri di Mesir tidak semeriah di Malaysia, namun dia sudah merancang bersama rakan untuk memasak juadah seperti ketupat dan rendang pada malam raya bagi mengubati kerinduan kepada keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 7:00 AM