MASYARAKAT Islam di Taiwan akan bersama beriftar dengan masyarakat bukan Islam dalam suasana harmoni. FOTO Ihsan Jireh Consult
MASYARAKAT Islam di Taiwan akan bersama beriftar dengan masyarakat bukan Islam dalam suasana harmoni. FOTO Ihsan Jireh Consult
Nurul Husna Mahmud

PERBEZAANNYA untuk Ramadan kali ini apabila kita berdepan cabaran dengan penularan pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang umat Islam menunaikan ibadah puasa dan menjalani amalan sunat seperti Tarawih bersama keluarga.

Dalam membiasakan diri dengan normal baharu berbanding rutin setiap Ramadan sebelum ini, rasanya tidak salah untuk mengetahui sambutan umat Islam di negara lain meraikan kedatangan bulan mulia ini.

Satu perkongsian daripada wakil Chinese Muslim Association (CMA) Taiwan, Zaharah Chen berkenaan saudara Islam di negara itu meraikan kedatangan Ramadan nyata unik.

Bagaimanapun, kata Zaharah mungkin kali ini cabaran ialah pandemik Covid-19 yang mengubah suasana apabila terpaksa membatalkan program seperti majlis berbuka puasa beramai-ramai dan solat Tarawih di masjid.

"Kalau di Malaysia (sebelum Covid-19) bukan Islam turut sama berkongsi nikmat 'berbuka' sama juga dengan Taiwan, suasana umat Islam di sana bersama bukan Islam juga penuh harmoni.

"Kami tidak letakkan eksklusif hanya Islam sahaja boleh menikmati 'hikmah' amalan berpuasa tetapi kami turut membuka kepada komuniti bukan Islam untuk merasai pengalaman bersama-sama memeriahkan suasana bulan mulia berkenaan.

SUASANA di bazar makanan turut ada hiasan raya. FOTO Ihsan Jireh Consult
SUASANA di bazar makanan turut ada hiasan raya. FOTO Ihsan Jireh Consult

"Seperti di Malaysia yang mengadakan majlis sahur dan berbuka puasa, solat Tarawih selain pengisian ceramah dan kelas agama. Umat Islam Taiwan juga turut sama memiliki pengisian ini.

"Tambahan kami membuka peluang kepada bukan Islam untuk menyertai aktiviti bersesuaian supaya mereka dapat memahami Islam lebih dekat.

"Pengisian membabitkan ceramah agama umpamanya terdapat slot atau sesi bersama penganut Buddha, Taoist dan Kristian di mana kami memanggil penceramah agama masing-masing dan berdialog,"katanya.

Menyentuh kepada reaksi ataupun tanggapan sering diterima daripada masyarakat bukan Islam, Zaharah melahirkan rasa syukur kerana Taiwan kaya dengan pelbagai budaya menyebabkan masyarakat negara itu terbuka menerima komuniti Islam.

"Saya rasa amat bersyukur kerana penerimaan orang bukan Islam di Taiwan mengenai Ramadan amat baik sekali. Kebanyakannya faham kami berpuasa kerana tuntutan agama.

"Tiada yang menghalang atau mengadu ketidakselesaan mereka. Malahan mereka tertanya-tanya bagaimana umat Islam dapat bekerja dan menjalani aktiviti seharian seperti biasa sambil berpuasa.

KOMUNITI Muslim di Taiwan yang sedang berwuduk. FOTO Ihsan Jireh Consult
KOMUNITI Muslim di Taiwan yang sedang berwuduk. FOTO Ihsan Jireh Consult

"Sokongan dari kerajaan Taiwan juga kuat. Setiap tahun mereka akan mengadakan majlis Aidilfitri di pelbagai tempat untuk kami, di mana umat Islam dan bukan Islam dapat meraikan bersama-sama," katanya.

Zaharah juga mengakui tidak jauh bezanya dengan rutin rakyat Malaysia apabila perlu bangun awal menyediakan juadah untuk bersahur.

"Saya rasa persiapan untuk Ramadan adalah sama walau di mana umat Islam berada. Kami di Taiwan akan bangun awal dalam pukul 3 atau 4 pagi untuk menyediakan makanan untuk bersahur.

"Untuk memberi kekuatan kami berlapar seharian, kami memilih juadah sahur seperti susu, yogurt, telur, roti dan buah kurma. Ada juga yang memilih juadah berat seperti mi atau nasi bersama daging,"katanya.

MASJID di Taiwan ada menyediakan makanan untuk bersahur dan berbuka secara percuma sepanjang Ramadan. FOTO Ihsan Jireh Consult
MASJID di Taiwan ada menyediakan makanan untuk bersahur dan berbuka secara percuma sepanjang Ramadan. FOTO Ihsan Jireh Consult

Menyentuh mengenai tempoh berpuasa katanya, perbezaan sekitar dua jam iaitu umat Islam di Taiwan berpuasa sekitar 15 jam sehari dan pilihan untuk berbuka juga pelbagai.

"Mungkin perbezaan ketara ialah kami di Taiwan tidak mempunyai bazar Ramadan yang besar seperti di Malaysia. Namun setiap Jumaat tengah hari, terdapat pasar kecil di masjid untuk kami membeli makanan halal.

"Selalunya masjid ada menyediakan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan. Setiap malam, masjid menerima seramai 600 hingga 900 orang untuk berbuka puasa bersama.

"Ada juga yang memilih untuk berbuka puasa di rumah dan restoran bersama ahli keluarga dan rakan-rakan. Kami juga mengajak rakan-rakan bukan Islam untuk berbuka bersama," katanya.

Meskipun tiada menu istimewa dalam Ramadan seperti Malaysia yang popular dengan juadah bubur lambuk. Pilihan berbuka pelbagai kerana masyarakat Muslim dari negara lain turut berada di sekitar.

"Pilihan juadah berbuka kami agak pelbagai dengan masakan Indonesia, India, Pakistan dan Taiwan. Kurma juga agak senang didapati di sini kerana boleh dibeli di pasar raya, kedai buah-buahan dan kedai kepunyaan orang Islam," katanya.

Zaharah. FOTO Ihsan Jireh Consult
Zaharah. FOTO Ihsan Jireh Consult

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 7:00 AM