Nobu (kanan) bersama rakan-rakannya ketika menunggu waktu berbuka puasa di sebuah restoran. FOTO Ihsan Nobu
Nobu (kanan) bersama rakan-rakannya ketika menunggu waktu berbuka puasa di sebuah restoran. FOTO Ihsan Nobu
Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Ibadah berpuasa di bulan Ramadan turut menarik minat warga asing yang juga penganut agama lain untuk mencuba sendiri pengalaman itu ketika berada di negara ini.

Perkara itu diakui Nobu, 23, pelajar berasal dari Jepun yang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti swasta di sini.

Menurutnya, ini bukanlah pengalaman pertama malah dia pernah mencubanya ketika di Tokyo.

"Saya mula berpuasa sejak hari pertama Ramadan tahun ini. Ikutkan saya sudah mempunyai pengalaman berpuasa dua kali di Tokyo namun berasa sangat sunyi berbanding puasa di sini kerana di Malaysia lebih meriah.

"Saya sebenarnya tertarik dengan ibadah puasa ini kerana ia adalah aktiviti yang sihat selain dapat mengurangkan pengambilan makanan, ia boleh meningkatkan kesihatan diri.

"Dengan adanya sokongan daripada rakan Muslim lain , saya merancang untuk berpuasa penuh tahun ini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, bagi Shun, 21, dan Poko, 20, juga berasal dari Jepun tertarik dengan bazar Ramadan yang menyajikan pelbagai aneka makanan yang enak.

"Bazar Ramadan Malaysia adalah syurga makanan. Kami juga berpuasa sejak awal Ramadan. Ia pengalaman yang menarik dan pelbagai makanan viral sudah dicuba termasuk apam balik coklat dan Poko menyukainya.

"Apa yang paling mencabar adalah tidak boleh minum air sepanjang hari, namun kami tetap berusaha menunggu hingga waktu berbuka," katanya.

Sementara itu, Tara Choi, 27, seorang warganegara Korea yang bekerja dan menetap di sini menceritakan dia berpeluang untuk berpuasa selama lima hari dengan sokongan dan dorongan rakannya yang beragama Islam.

"Berpuasa adalah aktiviti mencabar namun menyeronokkan kerana ia adalah pengalaman pertama bagi saya selepas tiga tahun menetap negara ini.

"Pada hari ketiga bersahur, saya hanya makan mi segera namun ia membuatkan saya berasa lapar dan penat sepanjang hari.

"Antara kuih kegemaran saya untuk berbuka adalah puding karamel dan kuih gula melaka yang saya beli di bazar Ramadan.

"Pengalaman ini mengajar saya erti bersyukur, mengelakkan pembaziran makanan dan minuman serta saya mempunyai perancangan untuk berpuasa penuh pada Ramadan tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 7:20 PM