Datuk Seri Aminuddin Harun
Datuk Seri Aminuddin Harun
Oleh Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kerajaan negeri bercadang menyelaraskan pelaksanaan Tahun Melawat Negeri Sembilan dengan Tahun Melawat Malaysia 2025 agar impaknya lebih besar kepada industri pelancongan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia berikutan ketika ini kerajaan negeri perlu memberi tumpuan terhadap projek menaik taraf dan baik pulih infrastruktur di seluruh negeri.

"Setakat ini kita belum ada perincian (Tahun Melawat Negeri Sembilan) lagi sebab kita tahu banyak perkara baharu dibuka, jadi kita juga ingin melihat infra yang kita ada selepas menghadapi banjir juga selepas bencana Covid-19.

"Kalau boleh kita nak sekalikan sambutannya dengan Tahun Melawat Malaysia supaya ia betul-betul dapat diterjemahkan.

"Bagi saya, itu akan memberikan impak yang lebih besar kepada pelancongan dan lebih menyeluruh," katanya pada Program 'Street Iftar' anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPP) di Laluan Jalan Pasar, di sini, malam tadi.

Dalam program sama, Aminuddin turut menyampaikan sumbangan kepada 44 anak yatim, ibu tunggal, balu, duda dan kakitangan MPPD.

Sementara itu, Yang Dipertua MPPD Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya akan sentiasa bersedia dengan sebarang perancangan kerajaan negeri berkaitan sektor pelancongan terutama di Port Dickson.

"Seperti kata MB (Menteri Besar), kita perlu bersedia kerana kita baru sahaja membuka pintu akibat masalah pandemik Covid-19 dan juga banjir baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 12:55 PM