Hard Rock Cafe
Hard Rock Cafe
Mohd Khidir Zakaria


URA-URA mengenai Hard Rock Cafe dan Hard Rock Hotel yang dikatakan akan dibuka di Port Dickson, kembali meniti di bibir pelbagai pihak selepas lapan tahun ‘senyap’.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah berkata, pihaknya menerima permintaan daripada beberapa pihak yang mahu membuka rangkaian hotel dan kafe terkenal dan bertaraf antarabangsa itu.

"Bagi saya, tiada masalah untuk pembukaan Hard Rock Cafe dan hotel itu kerana ia akan menjadi tarikan pelancongan yang baharu, namun mereka perlu mematuhi syarat yang kita tetapkan untuk menjaga sensitiviti penduduk tempatan.

"Buat masa ini, cadangan itu masih di peringkat rundingan antara pelabur, kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 2010, Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, kerajaan negeri terpaksa menolak cadangan pelabur asing untuk membuka Hard Rock Cafe dan Hard Rock Hotel di Port Dickson demi kepentingan rakyat.

Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak boleh menerima permohonan pelabur terbabit untuk mendapatkan hak eksklusif pantai awam di kawasan hotel dan kafe bertaraf antarabangsa itu.

Terdahulu, Danyal Balagopal pada sidang media sama berkata, seramai 10,000 peserta dijangka menyertai Larian Malaysia Baharu di bandar ini pada 7 Oktober depan, sempena meraikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kita jangka lebih 10,000 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai larian ini nanti yang antara lain akan turut mempromosikan Port Dickson sebagai pusat pelancongan yang menarik untuk dikunjungi," katanya.

Beliau berkata, acara itu anjuran Pejabat Ahli Parlimen Port Dickson dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson dan juga Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai persiapan awal, pihaknya akan mengadakan program membersihkan seluruh kawasan di Parlimen Port Dickson pada 26 Ogos ini yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun di Pantai Tanjung Biru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 5:02 PM