Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali

Machang: Sebanyak RM7.2 bilion nilai projek yang diserah kepada kontraktor Program Jana Wibawa membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dibatalkan dan akan ditender semula.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan untuk membatalkan tender berkenaan dilakukan Kementerian Kewangan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, projek berkenaan akan ditender semula mengikut prosedur dan tata etika kewangan yang mesti dihormati.

"Kita tahu ada sedikit gangguan dari segi pelaksanaan dan yakinlah sekiranya tata etika dan peraturan diikuti, ia akan dilakukan dengan segera.

"Insya-Allah projek itu akan siap dalam tempoh yang ditentukan," katanya pada sidang media pada Majlis Santunan Kasih di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, di sini, hari ini.

AHAMD Zahid menyampaikan ucapan selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHAMD Zahid menyampaikan ucapan selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Media sebelum ini melaporkan, lebih 1,000 kontraktor Bumiputera menanggung kerugian apabila pelbagai projek diluluskan menerusi Program Jana Wibawa sebelum ini dibatalkan untuk ditender semula.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 100 projek yang kebanyakan membabitkan tender terhad menerusi Program Jana Wibawa bernilai bilion ringgit akan dibuka untuk tender semula, biarpun kontraktor sebelum ini sudah membuat pelaburan besar, termasuk melantik jururunding bertauliah untuk menyelia projek itu.

Ditanya dakwaan kumpulan kontraktor yang mereka sudah disenarai hitam dari menyertai tender itu pada masa akan datang, Ahmad Zahid memaklumkan beliau tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 8:52 PM