Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali

Machang: Umno menegaskan tindakan mereka memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan tekanan atau desakan politik.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya berkata, apa yang dilakukan mereka adalah melalui prosedur dan perundangan sedia ada.

"Kami sebagai sebuah parti politik tentunya mengikut semua prosedur perundangan sedia ada, apabila prosedur sudah diikuti, ia terserah kepada Lembaga Pengampunan.

"Tidak timbul isu desakan atau tekanan parti tetapi ini rayuan kepada Lembaga Pengampunan, selebihnya adalah terserah kepada Lembaga Pengampunan.

"Umno sebulat suara memberi dokongan dengan lebih 3,000 tandatangan dibuat oleh Ketua Umno Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri bagi memohon pertimbangan itu. Sudah tentu kami prihatin terhadap bekas pemimpin kami," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Tautan Kasih Ramadan di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yakub.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya sudah berikhtiar untuk memperoleh tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Kita yakin akan peroleh tarikh dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) menyifatkan usaha Umno memohon pengampunan itu sebagai desakan politik.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata ia terpulang kepada Lembaga Pengampunan sama ada mahu mempertimbangkan perkara itu atau sebaliknya.

AHMAD Zahid diiringi Ahmad Said  semasa hadir pada Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pantai Penunjuk Kijal. FOTO Ghazali Kori.
AHMAD Zahid diiringi Ahmad Said semasa hadir pada Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat di Pantai Penunjuk Kijal. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 8:14 PM