HOTEL Hilton seluruh negara menyediakan bufet makan malam dengan pelbagai hidangan yang menarik serta menggamit selera menjadi sebahagian daripada Kempen Cita rasa Serantau.
HOTEL Hilton seluruh negara menyediakan bufet makan malam dengan pelbagai hidangan yang menarik serta menggamit selera menjadi sebahagian daripada Kempen Cita rasa Serantau.
Oleh Nas Norziela Nasbah


Kuala Lumpur: Hilton Kuala Lumpur menyemarakkan Ramadan kali ini dengan mengetengahkan tema bufet Cita rasa Serantau dengan pelbagai tarikan yang menggamit kedatangan pengunjung.

Keistimewaan yang ditampilkan termasuk menawarkan hidangan istimewa untuk bawa pulang, sajian sahur di dalam bilik dan banyak lagi.

Sebanyak 13 cawangan hotel itu mengambil bahagian dengan membawakan keunikan cita rasa tempatan dan juga hidangan istimewa negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Bufet makan malam yang disediakan adalah sebahagian daripada Kempen Cita rasa Serantau oleh hotel Hilton seluruh negara.

Diinspirasikan daripada keunikan sentuhan budaya dan warisan kulinari, tema dibawa menggamit kenangan penggemar makanan untuk menerokai rasa ulung sajian Malaysia dan antarabangsa.

Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Hilton, Eugene Oelofse berkata, Hilton berbesar hati untuk menawarkan pengalaman menjamu selera untuk pengunjung sepanjang Ramadan.

"Pastinya hidangan dan suasana yang disediakan meninggalkan kenangan terbaik buat pengunjung," katanya.

Kempen Ramadan Cita rasa Serantau bermula 23 Mac lalu hingga 21 April ini.

Di Bazar Ramadan di Vasco's, Hilton Kuala Lumpur, pengunjung boleh mencuba sajian udang harimau masak sambal nanas, daging salai masak lemak cili api dengan pegaga dan Sauteed Chinese Chili Mud Crab.

Di Hilton Petaling Jaya, penggemar masakan tradisi dengan stesen masak secara langsung boleh menikmatinya di Paya Serai. Disediakan juga bilik makan peribadi dengan hidangan 'talam Ramadan'.

Antara juadah menyelerakan adalah sup gearbox, nasi mandy kambing golek dan ayam panggang dengan nasi briyani.

Tidak kurang hebat, pengalaman bazar klasik di Makan Kitchen, Doubletree by Hilton Kuala Lumpur manakala hidangan gulai kawah boleh dikecapi di Makan Kitchen, Doubletree by Hilton Shah Alam i-City.

DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside pula menawarkan keindahan pemandangan tasik sambil berselera menikmati bufet mewah di Makan Kitchen atau tempat makan gaya Al-Fresco di Temenggor.

Apa yang pasti, pasukan cef mahir telah menghasilkan pelbagai menu hidangan merangkumi kegemaran klasik kepada moden, menggunakan bahan-bahan segar dan rempah asli.

Daripada nasi briyani yang harum hinggalah kepada kurma dan manisan menyelerakan.

Untuk menikmati uadah lazat seperti A Slow Cooked Hyderabad Style Lamb Shank Biryani Clay Pot, BBQ Style Wagyu Beef Brisket dan Harissa Kambing Golek atau Whole Lamb Roast, berkunjunglah ke DoubleTree Hotel Hilton Johor Bahru.

DoubleTree by Hilton Melaka pula menyediakan juadah premium antaranya sup kawah Abah, kari laksa Nyonya dan bubur lambuk aneka rempah.

Rusuk lembu direneh dengan asam pedas, gulai kawah daging dengan umbut pisang (Hilton Kuching); gulai kawah burung unta, ikan patin masak tempoyak, rendang minang burung puyuh (Hilton Kota Kinabalu); daging masak lemak cili padi, ikan masak tempoyak dengan timun dan daging rendang tok di DoubleTree by Hilton Damai Laut Resort.

Sementara, DoubleTree Resort by Hilton Penang menyenaraikan barisan cef terkenal dengan juadah membangkitkan selera seperti popiah Nyonya, bihun sup utara, nasi minyak, nasi biryani, pasembor, ikan bakar dan mochi.

Sebarang pertanyaan atau tempahan lanjut, boleh hubungi terus dengan pihak hotel atau layari www.eatdrinkhilton.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 7:55 AM