Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 17 aduan berhubung kenaikan harga barang termasuk di bazar Ramadan di seluruh negara, semalam.

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh berkata, pihak penguat kuasa kementerian itu ada melaksanakan pemantauan menerusi Op Pantau yang bermula pada 23 Mac lalu iaitu hari pertama Ramadan.

"Berhubung isu kenaikan harga barang termasuk di bazar Ramadan, kita akui ada terima sedikit aduan dan semalam dianggarkan kira-kira 17 aduan di seluruh negara.

"Bagaimanapun, pihak penguat kuasa ada membuat pemantauan bermula hari pertama Ramadan dan sebanyak 6,550 premis termasuk 983 bazar Ramadan diperiksa, semalam.

"Tindakan yang boleh dikenakan kepada peniaga bergantung kepada kesalahan dilakukan, namun kita mengambil langkah advokasi kepada peniaga pada minggu pertama bulan Ramadan," katanya selepas merasmikan Bazar Ramadan Rahmah Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, hari ini.

Sementara itu, Fuziah berkata, terdapat 41 peniaga trak makanan yang kesemuanya menawarkan menu Rahmah di tiga lokasi Bazar Rahmah di ibu kota ini iaitu di Lorong TAR, tempat letak kereta Lorong TAR Lot 4 dan Jalan Raja.

"Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Usahawan Food Truck Kuala Lumpur dan Persatuan Food Truck Kawasan Masjid India dengan setiap peniaga hanya dikenakan kadar sewa RM10 sehari bagi kos pembersihan.

"Pada masa sama, KPDN juga meneruskan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan dengan pemberian insentif e-tunai kepada pengguna serta peniaga dalam bentuk e-wallet di Bazar Ramadan Rahmat ini yang tertakluk kepada 500 pengguna terawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 8:24 PM