FUZIAH (tiga kiri) beramah mesra dengan peniaga murtabak ketika pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) melalui Inisiatif REDI dan MySaveFood 2024 di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang. FOTO Aswadi Alias.
FUZIAH (tiga kiri) beramah mesra dengan peniaga murtabak ketika pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) melalui Inisiatif REDI dan MySaveFood 2024 di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang. FOTO Aswadi Alias.
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kerajaan tiada bercadang untuk mengenakan harga siling terhadap penjualan sayur-sayuran.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, kementerian tetap akan memantau serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang pencatutan terhadap mana-mana peniaga yang bertindak menaikkan harga sayur-sayuran secara melampau.

Menurutnya, orang ramai perlu memahami rantaian bekalan dan kos pengeluaran bagi pekebun serta pengangkutan, selain ada harga borong dan runcit.

"Jadi KPDN tidak mengenakan sekatan atau harga siling tetapi kita pantau supaya tidak berlaku pencatutan, kalau naik luar biasa kita ambil tindakan.

"KPDN mengingatkan peniaga khususnya yang menjual sayur-sayuran tidak melakukan kesalahan mencatut berikutan perkembangan terbabit," katanya kepada pemberita mengulas mengenai jangkaan kenaikan harga sayur sehingga 25 peratus di pasaran susulan bekalan itu yang diramal terjejas.

Terdahulu, Fuziah melancarkan program Malaysia Save Food (MySaveFood) Ramadan 2024 Peringkat Kebangsaan dan meninjau Bazar Ramadan Rahmah di Jalan Raja Alang, di sini.

Sementara itu, Fuziah berkata, sepanjang seminggu penganjuran bazar Ramadan, hanya 18 aduan diterima berhubung harga makanan yang tinggi melalui Ops Pantau di seluruh negara.

Mengenai MySaveFood, Fuziah berkata, tahun ini, 75 bazar di 12 negeri termasuk di Wilayah Persekutuan dijangka terbabit dalam projek itu, dengan sehingga kini 32 bazar termasuk empat bazar Ramadan Rahmah mengesahkan pembabitan.

"Tahun lalu, sebanyak 25 tan makanan dengan anggaran RM281,429.01 berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)," katanya.

Beliau berkata, makanan dan minuman yang tidak terjual oleh peniaga bazar Ramadan dikumpul oleh sukarelawan GPS dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia untuk diagihkan kepada pelajar IPT.

"Secara keseluruhannya seramai 2,700 sukarelawan termasuk dari GPS menjadi penggerak kepada projek ini di seluruh negara.

"Gerakan Pengguna Siswa dari 35 universiti termasuk 19 universiti awam terbabit dalam program ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 9:39 PM