ANWAR Ibrahim (kiri), yang juga Menteri Kewangan bergegas hadir ke Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
ANWAR Ibrahim (kiri), yang juga Menteri Kewangan bergegas hadir ke Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri dan Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Kadar faedah yang lebih rendah dan caj tetap yang dikenakan dalam pinjaman patuh syariah menjadi pilihan pencarum jika dibenarkan membuat pinjaman bank menggunakan cagaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya pencarum yang berhasrat membuat pinjaman bank menggunakan cagaran wang caruman KWSP boleh memilih skim pinjaman Islamic dengan kadar faedah yang paling minimum.

Tinjauan Harian Metro mendapati orang ramai lebih bersetuju mencagarkan wang caruman mereka melalui pinjaman Islamic berbanding konvensional.

Kakitangan swasta, Muhammad Haikal Abdul Raman, 34, berkata kadar faedah yang dikenakan untuk membuat pinjaman secara patuh syariah adalah lebih rendah berbanding pinjaman konvensional.

"Bagi pencarum yang memang perlukan duit dan memilih untuk mencagarkan wang KWSP, mereka berhak membuat pilihan terbaik.

"Sebagai umat Islam, kita perlu mengutamakan yang patuh syariah, namun pemilihan skim pinjaman terbabit berdasarkan individu, jika ada bank yang menawarkan kadar faedah lebih rendah sudah pasti mereka akan memilihnya.

"Setahu saya pinjaman dalam Islam bersifat caj tetap dan tidak berubah berbanding konvensional," katanya kepada Harian Metro.

Bagi Dboy Ahmad, 40, dia menyarankan supaya institusi perbankan menawarkan pakej pinjaman dengan kadar faedah istimewa kepada pencarum KWSP yang betul-betul terdesak dan mempunyai alasan kukuh untuk mencagarkan caruman mereka.

Menurutnya, jika kadar faedah lebih rendah ditawarkan sudah pasti ia bukan saja membantu pencarum yang memerlukan, malah dapat memastikan simpanan persaraan pencarum tidak terjejas.

"Pinjaman patuh syariah bagi saya lebih baik kerana kadar caj lebih minimum dan tetap. Tetapi jika pencarum tidak terdesak, lebih baik tidak mencagarkan wang caruman mereka supaya keperluan masa depan mereka terjamin," katanya.

Pembantu peribadi, Ashidah Harun, 32 turut bersetuju dengan saranan memilih skim pinjaman Islam kerana mempunyai kadar faedah tetap.

"Dengan kadar faedah yang rendah ia mungkin kurang membebankan bagi pencarum yang ingin membuat cagaran di bank.

"Pencarum yang terdesak dan memerlukan wang segera boleh melakukan cagaran ini tetapi pastikan mereka mampu membayar semula pinjaman.

"Pihak bank pula sebaiknya menurunkan kadar faedah lebih rendah berbanding ditawarkan kepada peminjam lain kerana kita tahun pencarum KWSP yang terdesak ini memerlukan wang untuk menampung kehidupan mereka, malah ada di antara pencarum yang kehilangan kerja ketika Covid-19 masih belum mempunyai pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 2:08 PM