Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Negeri yang menawarkan tanah di lokasi strategik secara percuma akan diberikan keutamaan untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berharap setiap negeri mampu menawarkan tanah secara percuma atau dengan kadar premium nominal bagi tujuan berkenaan.

"Mana-mana negeri yang beri tanah secara percuma atau dengan kadar premium nominal akan diberi keutamaan bagi pembinaan PPR kerana kita mahu mengoptimumkan kos pembinaan rumah.

"Sebelum ini 30 hingga 35 peratus daripada jumlah kos keseluruhan pembinaan digunakan untuk pembayaran tanah yang menyebabkan kualiti rumah lebih rendah.

"Tawaran ini kita mula buka sejak minggu lalu dan berharap banyak negeri menawarkan tanah. Untuk berlaku adil senang sahaja, siapa cepat dia dapat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pasar Tok Kenali, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kaedah yang ditawarkan itu semata-mata untuk mengelak pembaziran.

"Tahun ini kita berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi peruntukan sebanyak RM387 juta untuk pembinaan PPR dan RM358 juta bagi projek rumah mesra rakyat," katanya.

Nga Kor Ming bertemu peniaga-peniaga kecil ketika hadir merasmikan Pasar Tok Kenali di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nga Kor Ming bertemu peniaga-peniaga kecil ketika hadir merasmikan Pasar Tok Kenali di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 1:12 PM