LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas Ogos lalu untuk mendapat maklum balas berhubung dakwaan premis di Pasar Besar Ipoh atau dulu dikenali Pasaraya Super Kinta dijadikan stor simpanan barang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ketika ini, pihaknya masih dalam proses meneliti dan mendengar pandangan pihak-pihak yang berkenaan.

Malah, katanya, sesi townhall (pertemuan) pun sudah dibuat dibuat sebelum ini.

"Kita kena juga adil sama ada terhadap pihak yang mendakwa premis itu dijadikan stor atau pemilik premis yang terbabit, kita kena tahu punca mereka tak buka premis.

"Maknanya kita kena dengar dua-dua belah pihak. Jadi jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Kanan MBI ditubuhkan untuk menyelidik sebelum tindakan selanjutnya disyorkan.

"Menerusi syor itu kalau perlu dibuat notis penamatan, maka kita akan keluarkan notis itu, tetapi dalam kes sekarang ia masih lagi dalam proses untuk mendengar pandangan susulan isu yang timbul," katanya ketika dihubung Harian Metro.

Semalam, Harian Metro melaporkan walaupun terletak di tengah bandar raya, Pasar Besar Ipoh yang sebelum ini dikenali sebagai Pasaraya Super Kinta kini sunyi sepi.

Kawasan yang menempatkan lebih 100 premis kedai yang bersambung dengan bangunan pasar dilihat tidak beroperasi sejak sekian lama.

Segelintir peniaga mendakwa keadaan itu berlaku disebabkan rata-rata premis kawasan itu disewa hanya untuk dijadikan stor menyimpan barang berbanding membuka perniagaan seperti biasa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (Adun) Kepayang yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, peruntukan sebanyak RM1 juta sudah disalurkan oleh kementeriannya kepada MBI untuk kerja-kerja baik pulih yang sedang dijalankan di Pasar Besar Ipoh.

RUMAIZI
RUMAIZI

"Datuk Bandar pun sudah berjanji hanya menempatkan peniaga yang benar-benar berminat berniaga di Pasar Besar Ipoh sahaja dibenar menyewa di situ, selain di beberapa pasar lagi seperti Pasar Pasir Pinji yang kini sepenuhnya sedang dibina baharu.

"Kita memang akan pastikan mereka yang benar-benar berminat baru boleh dikeluarkan lesen dan bukannya untuk sublet (sewa atas sewa) seperti didakwa berlaku ketika ini.

"MBI sedang mengkaji semula dan akan berbincang, berdialog dengan peniaga-peniaga sedia ada kerana objektif bersama adalah memastikan Pasar Besar Ipoh menjadi tarikan semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 6:30 AM