Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Setiap negeri dinasihatkan menghantar cadangan permohonan pembinaan projek perumahan rakyat (PPR), termasuk menawarkan tapak tanah bersesuaian bagi membolehkan ia dilaksanakan segera.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, langkah itu bagi membolehkan kementerian menyusun pembinaan PPR di setiap negeri seluruh negara yang membabitkan peruntukan kewangan besar.

Katanya, setakat ini hanya Negeri Sembilan sudah menghantar permohonan dan tawaran empat tapak tanah bagi pembinaan PPR antaranya di Seremban, Jelebu dan Nilai.

Manakala Johor pula sudah mengemukakan dua tapak bagi pembinaan PPR di Larkin dan Kulai.

"KPKT sedang menanti cadangan permohonan kerajaan negeri yang lain termasuk tawaran tapak tanah percuma atau mengenakan kadar premium nominal supaya projek pembangunan PPR dapat dilaksana segera.

NGA Kor Ming ketika sidang media selepas lawatan kerja ke Johor di Anjung Selera Laman Tasik Pandan, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NGA Kor Ming ketika sidang media selepas lawatan kerja ke Johor di Anjung Selera Laman Tasik Pandan, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Saya amat berharap supaya banyak lagi negeri akan menawarkan tanah sama ada percuma atau kadar premium nominal.

"Ia bagi membolehkan KPKT menyusun peruntukan yang ada dan jika tidak cukup (peruntukan) kita akan minta tambahan daripada Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media lawatan kerja di Anjung Selera Laman Tasik Pandan, di sini, hari ini.

Pada 19 Mac lalu, Kor Ming dilaporkan berkata tawaran pembinaan PPR dibuka kepada semua negeri seluruh negara dengan kementeriannya berharap banyak negeri akan menawarkan tanah mereka dengan projek akan dilaksana berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.

Beliau dilaporkan berkata, kaedah itu semata-mata untuk mengelak pembaziran peruntukan kerajaan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengumumkan peruntukan RM387 juta untuk pembinaan PPR dan RM358 juta lagi untuk projek rumah mesra rakyat untuk seluruh negara.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) setiap negeri perlu mengenal pasti

tapak tanah yang sesuai bagi pembinaan PPR sekali gus melakukan kajian kebolehlaksanaan.

"Tapak tanah ini cukup penting kerana sekiranya lokasinya strategik dan ideal untuk dihuni, kementerian akan beri pertimbangan sewajarnya.

"Pemberian tanah secara percuma oleh mana - mana kerajaan negeri ini bagi pembinaan PPR akan mengoptimumkan kos pembinaan rumah dengan peruntukan tidak akan terbeban untuk membayar kos tanah.

"Sebelum ini, dianggarkan 30 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan PPR digunakan untuk pembayaran tanah saja menyebabkan bangunan dibina dengan kualiti agak rendah kerana tidak cukup bajet, disebabkan peruntukkan disalurkan untuk membeli tanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 1:19 PM