AZMI menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Program High Profile Policing di perkarangan Tasik Suria KLCC. FOTO Eizairi Shamsudin
AZMI menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Program High Profile Policing di perkarangan Tasik Suria KLCC. FOTO Eizairi Shamsudin
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran program 'Jom Ziarah Gereja' oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Walaupun program itu dibatalkan semalam, namun siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima laporan yang mana beberapa percakapan dirakam.

Menurutnya, pengadu dan saksi sudah dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan.

"Kita juga sudah menghubungi salah seorang wakil NGO terbabit yang memberi aku janji akan hadir ke IPD Sentul esok untuk dirakam percakapan.

"Selepas kertas siasatan dilengkapkan ia akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya pada sidang media selepas Program High Profile Policing Bersama Ketua Polis Kuala Lumpur di Esplanade, Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, hari ini.

Program 'Jom Ziarah Gereja' adalah inisiatif di bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia iaitu NGO yang bernaung di bawah KBS.

Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa program 'Jom Ziarah Gereja' tidak membabitkan individu beragama Islam.

Sementara itu, mengulas mengenai perhimpunan di hadapan Sogo dan Dataran Merdeka, Azmi berkata, seramai tujuh individu termasuk penganjur sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

"Kita menjangkakan akan merujuk kertas siasatan yang dilengkapkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Selasa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 12:09 PM