AZMI melawat pameran pada Program High Profile Policing di perkarangan Tasik Suria KLCC. FOTO Eizairi Shamsudin
AZMI melawat pameran pada Program High Profile Policing di perkarangan Tasik Suria KLCC. FOTO Eizairi Shamsudin
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sudah merakam 14 percakapan termasuk tiga penerbit dan tiga pencetak bagi membantu siasatan mengesan individu dipercayai bertanggungjawab membuang 13 naskhah al-Quran dalam longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang, di sini, pada 18 Februari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis masih dalam proses melengkapkan kertas siasatan namun setakat ini belum dapat dikenal pasti punca sebenar kejadian itu dilakukan.

"Usaha kenal pasti dan mengesan pihak yang membuang al-Quran secara tidak berhemah itu sedang dijalankan.

"Setakat ini 14 percakapan termasuk tiga penerbit dan tiga pencetak sudah dirakam percakapan mereka," pada sidang media selepas Program High Profile Policing Bersama Ketua Polis Kuala Lumpur di Esplanade, Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, satu kertas siasatan dibuka oleh polis berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang wanita berusia 52 tahun pada jam 11.32 pagi 19 Februari lalu.

Menurutnya, sebuah klip video mengenai penemuan itu tular di media sosial dengan kejadian dipercayai berlaku pada 6.30 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298 A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 12:16 PM