PUTERA Albert II disambut Sivakumar (kiri), selaku Menteri Pengiring, sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA. FOTO Bernama
PUTERA Albert II disambut Sivakumar (kiri), selaku Menteri Pengiring, sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA. FOTO Bernama
BERNAMA

Sepang: Putera Monaco Putera Albert II berangkat tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan negara pertama selama empat hari ke Malaysia.

Pesawat khas yang membawa Putera Albert II dan delegasi baginda termasuk Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Monaco Isabelle Berro-Amadei serta pegawai kanan dan komuniti perniagaan, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 11 pagi.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dan Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Mohd Zamruni Khalid menyambut ketibaan Putera Albert II dan rombongan baginda.

Sejurus tiba, Putera Albert II memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Infantri Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Amirul Akmal Osman.

Baginda dijadual merasmikan Pejabat Konsul Kehormat Monaco yang pertama di Malaysia dan melawat Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur.

Esok, Putera Albert II dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diberi sambutan negara di Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah juga akan menganjurkan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Putera Albert II dan delegasinya.

Selain itu, Putera Albert II dijadualkan menghadiri Forum Ekonomi Monaco 2023 di Kuala Lumpur.

Sebelum berlepas pulang pada Rabu, baginda turut dijadualkan melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, di Pahang.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Al-Sultan Abdullah berkenan menjadi hos bagi lawatan negara Putera Albert II.

Menurut kenyataan itu, lawatan Putera Albert II akan memberi peluang yang baik kepada Monaco dan Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, dengan prospek kerjasama masa depan dalam pelbagai bidang yang disokong pada peringkat tertinggi kepimpinan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 12:48 PM