X
Al-Sultan Abdullah (tengah) di samping tetamu majlis dan dua pegawai kadet Malaysia yang menjalani latihan di RMAS. FOTO Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah (tengah) di samping tetamu majlis dan dua pegawai kadet Malaysia yang menjalani latihan di RMAS. FOTO Istana Negara.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis perjumpaan semula bersama rakan kadet 'Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst' tahun 1978 dan 1979 di akademi berkenaan semalam.

Kenyataan Istana Negara di Facebook memaklumkan, keberangkatan Sultan Abdullah disambut Komandan Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) Major Jeneral Duncan Capps dan isteri, Robyn Capps serta Penasihat Pertahanan Malaysia di United Kingdom Brigadier Jeneral Safwan Ismail.

Pada majlis perjumpaan semula yang berlangsung di Indian Army Memorial Room itu, Sultan Abdullah berkenan menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbau kenangan manis bersama rakan kadet Intake SMC 19 yang menjalani latihan bersama Seri Paduka.

Turut hadir jurulatih baginda, Colin John yang menzahirkan perasaan bangga dan terharu kerana dapat bertemu semula Sultan Abdullah yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

"Keberangkatan Seri Paduka ke majlis ini turut mencerminkan keperibadian tinggi Seri Paduka dan keakraban serta keutuhan semangat setia kawan yang telah terjalin sejak lebih 40 tahun lepas.

"Untuk kesinambungan tradisi, Seri Paduka telah menzahirkan hasrat agar dua anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah, untuk turut menjalani latihan pegawai kadet di Royal Military Academy Sandhurst pada tahun hadapan," menurut kenyataan.

Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan memberi kata-kata perangsang kepada dua pegawai kadet Malaysia yang sedang menjalani latihan di RMAS.

Pegawai Kadet Muhammad Yaasin Kamaruddin dan Pegawai Kadet Muhammad Haikal Mohd Tukiman dijadualkan tamat latihan di akademi itu pada Disember 2021 dan April 2022.

Royal Military Academy Sandhurst di London adalah sebuah institusi latihan ketenteraan terkemuka dunia yang amat terkenal dalam pembangunan kepimpinan dan latihan asas pegawai tentera darat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 3:14 PM