Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sekumpulan penjenayah warga Indonesia dikenali sebagai 'Kumpulan Rantau' dipercayai menggunakan perkhidmatan e-hailing ke rumah sasaran mereka untuk melakukan jenayah samun bersenjata.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, modus operandi kumpulan penjenayah yang memasuki negara ini sejak November lalu itu menyasarkan kediaman mudah dipecah masuk, tidak berpagar, tiada ciri keselamatan serta pintu atau tingkap mudah diumpil.

"Suspek menggunakan e-hailing ke kawasan hendak disamun atau minta rakan mereka hantar, selesai samun mereka guna kenderaan lain balik ke tempat tinggal mereka.

"Bagaimanapun pada 6 Mac lalu, kira-kira 8.20 pagi, polis berjaya menahan suspek membabitkan empat lelaki dan seorang perempuan di flat sekitar Sungai Besi, Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata, siasatan mendapati, enam jam sebelum ditangkap suspek berusia lingkungan 29 tahun hingga 49 tahun itu baru selesai melakukan samun di sebuah kawasan perumahan di Sungai Long, Kajang.

HUSSEIN (tengah) menunjukkan rampasan senjata milik suspek. FOTO Faiz Anuar
HUSSEIN (tengah) menunjukkan rampasan senjata milik suspek. FOTO Faiz Anuar

"Laporan dibuat lelaki tempatan berusia 36 tahun melaporkan dia sekeluarga disamun suspek kira-kira 3 pagi dan kerugian wang tunai kira-kira RM2,000, dua telefon bimbit serta enam jenis barang kemas," katanya.

Beliau berkata, hasil tangkapan, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dalam rumah di Selangor dan satu kes di Seremban, Negeri Sembilan dengan kerugian RM55,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan serta turut disiasat Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c) dan 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63

"Seorang suspek didapati positif dadah methamphetamine dan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 12:25 PM