WANITA warga Indonesia ditahan ketika bersembunyi di dalam but kenderaan e-hailing dalam cubaan merentas negeri. FOTO ihsan polis
WANITA warga Indonesia ditahan ketika bersembunyi di dalam but kenderaan e-hailing dalam cubaan merentas negeri. FOTO ihsan polis
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Seorang wanita warga Indonesia sanggup bersembunyi di dalam but kereta e-hailing dinaikinya untuk pulang beraya dengan suaminya.

Bagaimanapun, percubaan wanita berusia 28 tahun itu gagal apabila ditahan polis sebaik tiba di sekatan jalan raya (SJR) Tol Simpang Ampat, di sini, pada 2.30 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, wanita terbabit dikatakan menggunakan perkhidmatan e- hailing dari Nilai, Negeri Sembilan untuk ke Rembia, di sini, untuk bertemu suaminya selepas kira-kira setahun tidak berjumpa.

"Curiga dengan sebuah Perodua Bezza yang juga e-hailing dipandu seorang lelaki, anggota bertugas di SJR membuat pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu.

"Merkea kemudian menemui seorang wanita berbaring di dalam but kereta itu," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek termasuk pemandu e- hailing berusia 27 tahun ditahan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sebelum tiba di SJR itu, wanita terbabit dikatakan masuk ke dalam but dan difahamkan urusan tempahan e-hailing dibuat suaminya.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan wanita terbabit didapati tiada dokumen pengenalan diri sah.

"Pemandu e-hailing itu akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan- Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Seksyen 56(1)(D) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah.

"Manakala suspek wanita disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 selain dia akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 6:59 PM