WANG tunai dirampas daripada suspek yang membuat laporan palsu kononnya disamun. FOTO ihsan polis
WANG tunai dirampas daripada suspek yang membuat laporan palsu kononnya disamun. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi

Gombak: Seorang pemandu e-hailing tergamak membuat laporan palsu kononnya dia menjadi mangsa samun demi membolot wang tunai RM50,750 hasil jualan daripada perniagaan bersama rakan kongsi, semalam.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki berusia 35 tahun itu terbongkar selepas polis yang menjalankan siasatan mendapati dia membuat laporan palsu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada mulanya menerima laporan dibuat mangsa pada 12.30 tengah hari memaklumkan disamun dua lelaki di Taman Ehsan dan kerugian RM51,500 membabitkan wang tunai dan telefon bimbit.

Menurutnya, hasil siasatan pihak polis mendapati suspek mereka cerita kejadian itu bagi membolehkannya mengaut keuntungan wang tunai RM50,750 iaitu hasil jualan perniagaan bersama rakan kongsinya.

"Suspek bekerja sebagai pemandu e-hailing dan peniaga pelitup muka, pembasmi kuman dan sarung tangan getah manakala semakan rekod mendapati dia dikehendaki bersabit kes penipuan di Kempas, Johor dan di Kuantan, Pahang pada 2014.

"Hasil semakan mendapati dia sudah menggunakan RM30,750 daripada RM50,750 yang didakwa disamun itu untuk membayar perbelanjaan keluarga serta membayar hutang," katanya.

Arifai berkata, baki sebanyak RM20,000 masih dalam simpanannya dan dirampas pasukan penyiasat sebagai bahan bukti.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan sebelum suspek diserahkan ke Bahagian Jenayah Komersial IPD Kuantan untuk siasatan lanjut atas rekod orang dikehendaki bersabit kes penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 8:24 PM