MOHAMAD Fakhrudin menunjukkan motosikal dan barang yang dirampas daripada suspek. FOTO Amirudin Sahib
MOHAMAD Fakhrudin menunjukkan motosikal dan barang yang dirampas daripada suspek. FOTO Amirudin Sahib
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Taktik seorang penganggur menyamar sebagai pekerja e-hailing ketika meragut terbongkar selepas dia ditahan di kawasan perumahan di Jalan Gasing, di sini, pada 22 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 25 tahun yang memaklumkan diragut di Seksyen 13, di sini, pada 21 Februari lalu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa sedang berjalan di lokasi sebelum dihampiri motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggang seorang lelaki yang melarikan telefon bimbit pengadu.

"Susulan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes itu di kawasan perumahan di Jalan Gasing, jam 6.30 petang pada 22 Februari lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan menjual telefon bimbit mangsa kepada rakannya.

"Bertindak atas maklumat itu, pihaknya menahan seorang lagi lelaki berusia 32 tahun di Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan merampas telefon bimbit milik mangsa yang dibeli daripada suspek.

"Modus operandi lelaki itu adalah menyamar sebagai pekerja e-hailing dan akan menukar set 'cover' motosikal setiap kali melakukan ragut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin berjaya menyelesaikan dua kes ragut di daerah ini susulan penangkapan suspek.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua lelaki terbabit mempunyai rekod kes jenayah dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 3:13 PM