GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


AHLI perniagaan dan dua pemandu e-hailing mengalami kerugian kira-kira RM200,000 selepas diperdaya dalam tiga kejadian berasingan di Kepala Batas pada minggu lalu.

Dalam kejadian Khamis lalu, seorang ahli perniagaan berusia 48 tahun didakwa tertarik dengan satu iklan pelaburan yang ditawarkan di aplikasi WeChat tanpa menyedari ia adalah satu penipuan.

Pada hari yang sama, dua pemandu e-hailing masing-masing berusia 29 dan 31 tahun terpedaya dengan tawaran yang menjanjikan keuntungan melalui pembelian telefon bimbit menerusi aplikasi WhatsApp dan penumpangnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiga mangsa membuat laporan polis semalam selepas menyedari sudah tertipu dengan tawaran terbabit.

“Mangsa pertama yang juga ahli perniagaan, mengalami kerugian sebanyak RM181,209.35 selepas melakukan 22 transaksi pemindahan wang ke akaun suspek.

“Ahli perniagaan itu memaklumkan bahawa dia teruja dengan tawaran iklan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa singkat dan menghubungi nombor telefon yang tertera di aplikasi WeChat sebelum bercakap dengan seorang wanita kononnya dari Hong Kong serta mendakwanya adalah ejen sebuah syarikat pelaburan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa mula sedar dirinya ditipu selepas wanita itu berkali-kali memintanya untuk menambah wang pelaburan sebelum membuat laporan polis.

Katanya, seorang pemandu e-hailing pula mendakwa mengalami kerugian RM18,980 selepas tertarik dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat yang diiklankan melalui aplikasi Whatsapp.

“Mangsa menghubungi nombor telefon yang tertera dan bercakap dengan seorang wanita sebelum memaklumkan dia berminat untuk membuat pelaburan sebanyak RM500.

“Bagaimanapun, mangsa diperdayakan untuk menambah wang pelaburan untuk mendapat hasil lebih lumayan hingga tidak sedar dia melakukan pemindahan wang sebanyak empat kali berjumlah RM18,980,” katanya.

Noorzainy berkata, bagi kes ketiga yang juga membabitkan pemandu e-hailing mendakwa mengalami kerugian RM3,600 selepas terpedaya dengan penumpangnya yang menawarkan pembelian telefon bimbit jenis iPhone 7 Plus dengan harga murah.

“Mangsa ketika itu dalam perjalanan menghantar suspek yang memperkenalkan diri sebagai pekerja sebuah syarikat telekomunikasi dari Kuala Lumpur dan mempromosikan telefon bimbit terbabit dengan harga yang sangat murah.

“Dia kemudian termakan tawaran itu dan membuat tempahan lapan unit telefon bimbit berkenaan dengan harga RM3,600,” katanya.

Noorzainy berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:41 PM