Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Pelaksanaan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 yang membolehkan pesalah menjalani hukuman di luar penjara dapat mengatasi masalah kesesakan banduan di fasiliti itu.

Pindaan itu yang diluluskan Ogos lalu membenarkan pesalah dikenakan hukuman pemenjaraan tidak melebihi tiga tahun menjalani program pemulihan dalam komuniti di bawah Perintah Kehadiran Wajib (PKW).

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata, pihaknya sudah bersedia menguatkuasakan PKW dan menyasarkan dua pertiga daripada jumlah penghuni penjara menjalani inisiatif pemulihan dalam komuniti termasuk PKW menjelang 2030.

"Kami amat bersyukur dengan kelulusan pindaan akta ini yang memberi peluang kepada pesalah hukuman ringan untuk menjalani hukuman di luar fasiliti (penjara).

"Ini kerana program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar penjenayah berulang, dengan anggaran 400 penghuni dibebaskan, hanya seorang yang akan kembali ke penjara iaitu 94.6 peratus.

"Kita menyasarkan untuk mencapai 10,000 pesalah menjalani pemulihan dalam komuniti tahun ini dan kita sudah mencapai 79.5 peratus. Kita yakin jumlah itu dapat dicapai sebelum November tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mengenai kekangan pusat untuk pelaksanaan PKW, Nordin berkata, pihaknya sudah meminta kerajaan untuk mempertimbangkan permohonan menambah jumlah pusat secara berperingkat.

"Ketika ini, terdapat 52 pusat PKW dan kita menyasarkan 20 lagi pusat dapat ditambah, menjadikan jumlahnya kepada 72 pusat di seluruh negara.

"Diharap jumlah pusat ini dapat ditingkatkan ke 157 buah di seluruh negara bagi memastikan kelancaran pelaksanaan PKW," katanya.

Mengikut statistik Jabatan Penjara, terdapat 82,539 orang menghuni penjara di seluruh negara dengan 76,336 orang di institusi penjara dan 6,203 orang lagi ditempatkan dalam program PDK.

"Berdasarkan jumlah penghuni itu, 17,025 penghuni adalah banduan warga Malaysia yang sedang menjalani hukuman tiga tahun ke bawah bagi kesalahan dadah, kesalahan jenayah syariah serta lain-lain.

"Kapasiti penjara hanya boleh menempatkan 66,000 penghuni sahaja. Jadi, terdapat 16 peratus kesesakan atau kira-kira 10,000 penghuni berdasarkan jumlah penghuni ketika ini," katanya.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 5:41 PM