Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Hari Terbuka AADK di PUSPEN Sungai Besi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Hari Terbuka AADK di PUSPEN Sungai Besi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pindaan kepada Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 berada di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menggunakan seluruh keupayaan bagi menjayakan pindaan akta itu.

Menurutnya, apabila dilaksanakan, ia akan membolehkan hukuman pesalah penyalahgunaan dadah 'dialihkan' daripada hukuman penjara kepada program rawatan dan pemulihan.

"Jabatan Penjara mempunyai 41 penjara dengan lebih 78,000 penghuni ketika ini. Apabila kita profil data mendapati lebih separuh penghuni berkait dadah daripada kesalahan pengedaran sehingga menyalahgunakan bahan.

"Kalau semua kita nak ikut jalur (peraturan) bermula dengan laporan polis, buka siasatan dan masuk ke penjara. Penjara semakin sesak, itu tidak kondusif.

"Harapan kita adalah kalau setakat penyalahgunaan bahan, kita nak 'shortcut' (jalan pintas) undang-undang yang membenarkan Pegawai Pemulihan buat ujian, jika positif dihantar ke Puspen, berbanding amalan biasa (buat ujian) mesti pegawai perubatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka AADK 2024 di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi memberi peluang kedua buat penagih mendapatkan rawatan untuk pulih daripada penagihan tanpa dimasukkan ke dalam penjara.

Cadangan itu untuk memastikan sistem perundangan semasa kekal relevan dengan mengalihkan penyalahgunaan dadah dari hukuman penjara kepada program rawatan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya bersedia melaksanakan sebarang perubahan sebaik akta berkenaan dikuat kuasa termasuk memperkasa Pegawai Pemulihan dan seluruh keupayaan di Puspen.

"Saya fikir ini satu 'game changer' (perubahan). Kita ada 30 pusat pemulihan dan enam pusat sukarela yang mempunyai antara 10,000 hingga 12,000 klien, tapi yang pulih melalui komuniti jauh lebih besar kira-kira 70,000 orang.

"Melalui pindaan akta ini, mereka yang datang sukarela untuk menjalani pemulihan akan diletakkan di Puspen dan Pegawai Pemulihan akan diperkasakan bagi menggembleng pemulihan kelompok itu," katanya.

Katanya, peranan komuniti termasuk ahli keluarga amat penting di sebalik usaha kerajaan memerangi penyalahgunaan dadah termasuk meminda akta berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 4:49 PM