ZULKIFLI (tengah) ketika melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran I-Pulih oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) hari ini. FOTO BERNAMA
ZULKIFLI (tengah) ketika melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran I-Pulih oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) hari ini. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melancarkan Program i-Pulih sebagai antara inisiatif untuk menambah baik modul rawatan dan pemulihan dalam komuniti bagi penagih dadah dengan melaksanakan penjenamaan semula terma Orang Kena Pengawasan (OKP) kepada klien.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, penggunaan terma klien adalah merujuk kepada individu yang sedang atau sudah menjalani perintah atau individu yang mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan AADK secara sukarela di dalam komuniti.

"Penjenamaan ini dibuat selari dengan penambahbaikan Modul Rawatan dan Pemulihan dalam komuniti yang dikenali sebagai i-Pulih yang membawa maksud i iaitu inisiatif dan inovatif manakala Pulih adalah pendekatan rawatan dan pemulihan dalam komuniti.

"Perkhidmatan yang ditambah baik ini diharap dapat mengubah persepsi dalam mengurangkan stigma negatif terhadap penyalahgunaan dadah dan bekas penyalahguna.

"Selaras dengan maksud itu, AADK mengorak langkah dengan menjenamakan semula OKP kepada klien," katanya pada Majlis Pelncaran Program i-Pulih di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, bagi tempoh Januari hingga November lalu, seramai 14,766 klien direkodkan menerima perkhidmatan rawatan dan pemulihan di AADK.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,877 klien atau 67 peratus berjaya mengekalkan kepulihan," katanya.

Zulkifli berkata, bagi kes sukarela pula, seramai 539 klien hadir untuk mendapatkan perkhidmatan di empat Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sungai Besi (95), Jerantut (163), Bukit Mertajam (156) dan Kota Bharu (125) bagi tempoh sama.

"Berasaskan kepada situasi ini, AADK mengatur strategi lebih berkesan dan agresif dalam pelaksanaan program rawatan dan pemulihan klien sama ada di dalam komuniti mahupun di institusi pemulihan.

"Bagi mencapai hasrat itu, AADK sedang merevolusikan penyampaian perkhidmatan supaya lebih memenuhi keperluan dan kepulihan kumpulan sasar dengan menyediakan program serta prasarana berbentuk lebih terbuka, bersedia dan selesa dalam mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 6:19 PM