Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tiada 'laluan istimewa' atau pengecualian kepada penceramah yang berhasrat menyampaikan ceramah agama Islam di Selangor meskipun mereka dalam kalangan individu berpengaruh, popular atau dikenali umum.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, semua penceramah berkenaan perlu melalui beberapa proses membabitkan ujian bertulis, temu duga, tapisan undang-undang sebelum dibawa ke Jawatankuasa Tauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) .

"Tiada laluan istimewa (kepada penceramah tertentu) walaupun penceramah itu dikenali umum, popular... kita tetap kena semak syarat-syaratnya.

"(Jika) hendak mengajar agama Islam (di Selangor)... kita kena pastikan mereka benar-benar mengetahui (ilmu berkenaan).

"(Ustaz Azhar Idrus), pihak masjid itu ada buat permohonan minta pengecualian (untuk beliau)... jawapan diberi dengan tegas bahawa JAIS tidak ada pengecualian. Permohonan dihantar melalui surat sahaja, sampai pada JAIS didapati tidak memenuhi syarat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembatalan ceramah dua penceramah iaitu Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Muhammad Wadi Annuar, baru-baru ini di Selangor.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian penutup Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang dengan tajuk "Poligami: Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah" anjuran MAIS dengan kerjasama JAIS di Masjid Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, sehingga tahun lalu, 5,642 penceramah yang mendapat tauliah mengajar agama Islam di Selangor.

"Tempoh masa bagi tauliah yang dipohon itu adalah tiga tahun dan semua penceramah boleh memohon secara dalam talian.

"Kita akan mengadakan Jawatankuasa Tauliah empat kali setahun, jadi sebanyak empat kali permohonan tauliah itu dibawa masuk ke Jawatankuasa Tauliah," katanya.

Mengulas mengenai permohonan tauliah mengajar agama Islam di Selangor, katanya, ada beberapa proses, prosedur serta 10 syarat yang sudah ditetapkan.

"Selepas memohon kena ujian bertulis, apabila lulus perlu temu duga... kemudian tapisan keselamatan untuk memastikan tiada unsur jenayah terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru kita bawa kepada Jawatankuasa Tauliah.

"Berapa lama proses mendapatkan tauliah adalah berbeza tempoh sebab ada pelbagai kategori tauliah yang dipohon oleh penceramah.

"Mereka yang memohon perlu beragama Islam dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan sempurna akal, berakhlak dengan akhlak Islam, tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah oleh Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah.

"Mereka juga mempunyai pengetahuan agama Islam sekurang-kurangnya di peringkat Empat Sanawi atau yang setaraf dengannya, lulus ujian bertulis dan temu duga, mendapat kebenaran bertulis dari majikan dan bermastautin di Selangor," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada juga tauliah dibenarkan secara khas, contohnya penceramah luar negara yang sudah dikenali umum mengenai ilmu agama Islamnya.

"Penceramah berkenaan perlu membuat permohonan khas tetapi tempohnya bukan tiga tahun. Yang pasti ahli politik tidak dibenarkan kerana mereka mungkin akan guna platform itu untuk ceramah kempen kepartian sebagaimana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 3:48 PM
TAN Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) pada sidang media selepas Forum Kekeluargaan dan Pencerahan Undang-Undang: Poligami Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah?. FOTO Faiz Anuar
TAN Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) pada sidang media selepas Forum Kekeluargaan dan Pencerahan Undang-Undang: Poligami Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah?. FOTO Faiz Anuar