DR Mohammad Fahmi Ngah.
DR Mohammad Fahmi Ngah.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melalui jawatankuasa khas sedang memantau pengajaran dan bahan dakwah secara dalam talian yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, jawatankuasa khas berkenaan juga bertujuan mengekang dan mengawal kegiatan dakwah dalam talian yang bertentangan dengan enakmen, fatwa dan undang-undang syariah Selangor.

"Penubuhan jawatankuasa khas ini untuk melihat perkara itu membabitkan soal-soal penguatkuasaan (bahan dalam talian).

"Ini termasuk jika alamat protokol internet berada di luar (Selangor), bagaimana penguatkuasaan boleh dibuat.

"(Dalam) jawatankuasa itu juga, (Mais) turut dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

"Kita sedang menetapkan kaedah dan cara bagaimana untuk mengekang serta mengawal perkara-perkara sebegini," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) sama ada penguatkuasa agama negeri ada kuasa memantau atau menguatkuasa undang-undang berkait dengan ajaran dalam talian yang tidak sesuai dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Terdahulu, Mohammad Fahmi menjawab pertanyaan Mu'izzuddeen Muahyuddin (PN-Hulu Bernam) mengenai usaha kerajaan negeri bagi mengukuhkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Selangor.

Katanya, pelbagai insiatif dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) termasuk penyediaan silibus akidah di sekolah rendah dan menengah seliaannya.

"Selain itu, Jais turut memberikan penjelasan melalui teks khutbah Jumaat yang menyentuh berkaitan akidah islam selain pencegahan ajaran menyeleweng dan sesat melalui kawalan tauliah ceramah.

"Jais juga melaksanakan pencelahan dalam isu dan masalah berkaitan pegangan akidah Islam yang dihadapi dalam kes rumah tangga dan kekeluargaan melalui pegawai runding cara," katanya.

Mohammad Fahmi berkata, usaha penguatkuasaan undang-undang yang konsisten terhadap kesalahan berlawanan dengan enakmen dan undang-undang jenayah syariah dan fatwa Selangor turut dilaksanakan oleh Jais.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 12:59 PM