BERNAMA

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di negeri itu, daripada 16 kepada 18 tahun.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda memandang serius kes-kes membabitkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia terlalu muda, terutama kanak-kanak perempuan, kerana bimbang dengan risiko kemudaratan masa depan pasangan terbabit serta kesannya kepada masyarakat kelak.

“Oleh itu Beta telah menitahkan pihak MAIS dan JAIS untuk menyemak semula undang-undang dalam kalangan orang Islam yang sedia ada di negeri Selangor dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu,” titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat perasmian itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Selain itu, baginda bertitah, beberapa peruntukan lain juga perlu dipinda bagi menambahbaik prosedur dan proses kebenaran perkahwinan di bawah umur di Mahkamah Syariah, dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa serta pihak berkenaan.

“Antara syarat-syarat terbabit adalah seperti mendapatkan rekod aspek mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan tanpa paksaan pemohon bagi memastikan perkahwinan mereka ini tidak akan mendatangkan kemudaratan.

“Untuk tujuan itu beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dicadangkan untuk dibuat pindaan. Beta berharap kedua-dua cadangan pindaan undang-undang terbabit dapat dibentangkan dalam persidangan DUN pada kali ini,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 1:42 PM