Rozimi (kiri) dan Mohd Fadzil menjadi panel dalam Forum Poligami: Berani Atau Sembunyi anjuran JAWI di Kuala Lumpur hari ini. Foto Ihsan JAWI
Rozimi (kiri) dan Mohd Fadzil menjadi panel dalam Forum Poligami: Berani Atau Sembunyi anjuran JAWI di Kuala Lumpur hari ini. Foto Ihsan JAWI
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kesedaran orang ramai mengenai penyediaan dokumen berkaitan pernikahan semakin meningkat sejak penularan pandemik Covid-19.

Ia ada kaitan dengan proses mendapatkan bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) menyebabkan orang ramai tampil berurusan di pejabat agama.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Rozimi Zamri berkata, ia termasuklah mereka yang ingin mendaftarkan perkahwinan kedua di luar negara yang diterima sebelum ini.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, jumlah mereka yang hadir ke pejabat agama untuk urusan berkaitan keluarga bertambah kerana perlu mendapatkkan dokumen pernikahan dan sebagainya.

"Pengalaman saya sebelum ini, sejak kerajaan menyediakan BPN, ramai di luar sana yang mengalami kesempitan mula mendaftar pernikahan mereka.

"Selama ini tidak ada apa-apa, penguat kuasa tak tangkap, tak ada masalah, rupanya dengan isu Covid-19 ini menyebabkan individu seperti itu menghadapi kesulitan.

"Syarat untuk mendapatkan bantuan ini kena ada sijil nikah dan sebagainya, jadi mereka tampil mendaftar," katanya ketika menjadi panel forum 'Poligami: Berani Atau Sembunyi.

Turut serta Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAWI Mohd Fadzil Abu Kasim.

Menurutnya, mana-mana pasangan yang bernikah di luar negara perlu merujuk kepada JAWI untuk urusan pendaftaran.

Katanya, mereka perlu bawa semua dokumen berkaitan untuk dikemaskini dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan.

"Penguat kuasa akan membuat penilaian, soal siasat tertentu untuk dipanjangkan kepada pendakwa kerana mahkamah akan membicarakan dan memutuskan kes nanti," katanya.

Sementara itu, Mohd Fadzil berkata, persepsi negatif terhadap amalan poligami menyebabkan ada pasangan mengambil remeh soal kebenaran berkahwin dan sanggup bernikah di negara jiran.

Menurutnya, mereka akan berdepan pelbagai masalah berkaitan urusan rumah tangga termasuk pendaftaran anak dan perkara berkaitan yang lain.

"Berpoligami tanpa kebenaran akan memberi implikasi yang banyak kepada individu kerana ia tidak didaftarkan dengan pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, sekiranya berlaku perceraian, ia menyebabkan masalah lain berlaku antaranya pendaftaran anak serta beberapa perkara lain yang ada kena mengena dengan rumah tangga.

"Kadang-kadang ada yang mengambil remeh dengan peruntukan dan undang-undang kerana ingin kahwin secara sembunyi termasuk di negara jiran.

"Undang-undang yang ada ini untuk mempermudahkan urusan kehidupan. Kalau kita langgar, ia akan menyusahkan," katanya.

Menurutnya, Seksyen 40 Undang -Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan memperuntukkan, sesiapa yang menjalankan upacara nikah atau berkahwin tanpa kebenaran adalah satu kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 8:43 PM