DATUK Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin. FOTO arkib NSTP
DATUK Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin. FOTO arkib NSTP
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan kelulusan kebenaran mengeluarkan kayu di tanah milik yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Datuk Seri Azemi Kasim, sudah ditarik semula.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, video yang ditularkan yang memaparkan Azemi sebagai pelesen itu adalah video lama pada September lalu yang disebarkan kembali.

Mengulas lanjut, katanya, JPNP tidak menerima sebarang maklumat ada aktiviti terbabit di kawasan itu ketika ini.

"Ia video lama yang mana aktiviti itu berlaku dalam tanah milik dan jabatan perhutanan cuma berikan kebenaran untuk beliau (Azemi) mengeluarkan kayu.

"Namun, kami sudah menarik semula kelulusan kebenaran mengeluarkan kayu dan menggunakan hutan simpan sebagai laluan," katanya kepada BH di sini.

elalui video berdurasi seminit 36 saat itu, ia memaparkan aktiviti pembalakan dengan seorang wanita mempertikaikan mengenai individu bernama Datuk Seri Azemi Kasim sebagai pelesen.

Pada masa sama, Mohd Hizamri berkata, isu pembalakan di kawasan Hutan Simpan Lentang yang ditularkan sebenarnya adalah kawasan lesen pembersihan hutan berstatus tanah milik yang terletak di dalam daerah Bentong dengan keluasan kira-kira 3.59 hektar.

Beliau berkata, kawasan lesen ini pernah ditularkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 30 Oktober 2020 berkaitan pencemaran Sungai Kenoi berhampiran sebuah resort akibat aktiviti pembinaan jalan pengeluaran ke kawasan lesen ini.

"JPNP yang meluluskan lesen ini pada 15 Oktober 2020 sebelum kemudiannya mengambil tindakan untuk menghentikan kerja sementara kepada pelesen pada 30 Oktober 2020.

"Selepas mengambil kira beberapa faktor, jabatan mengambil keputusan untuk membatalkan lesen pengeluaran balak bagi kawasan lesen ini.

"Bagaimanapun, pelesen masih boleh melaksanakan aktiviti tebangan pokok kerana kawasan ini berstatus tanah milik," katanya.

Beliau berkata, JPNP juga menasihati pelesen supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan semasa proses penebangan bagi mengelakkan bencana yang tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 6:16 PM