Mohd Rafi Mamat


Bentong: Kejadian kepala air yang terlalu deras dari Sungai Kerau, di sini selepas hujan lebat dikenal pasti menjadi punya berlaku balak hanyut di jambatan Sri Telemong Jalan Karak-Pelangai, di sini.

Longgokan balak dan sisa pokok juga terdapat di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Karak hingga menyebabkan laluan terbabit ditutup sementara beberapa hari.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pihaknya melakukan siasatan di tempat kejadian bagi mencari punca berlakunya kejadian balak dan sisa pokok hanyut di dua tempat terbabit.

Menurutnya, hujan lebat selama tiga hari berturut-turut bermula 16 Disember yang menyebabkan paras air Sungai Temeriak meningkat secara luar biasa hingga berlakunya kejadian kepala air.

Katanya, peningkatan paras air sungai menyebabkan kadar kelajuan sungai terbabit menjadi amat tinggi, ditambah dengan sungai menuruni bukit mengakibatkan impak kepala air yang lebih kuat hingga membawa sisa kayu, pokok besar serta kejadian tanah runtuh.

"Pemantauan udara menggunakan dron telah dilakukan. Kita dapati tidak ada sebarang aktiviti pembukaan hutan di dalam Hutan Simpan Lentang, di sini.

"Kawasan Hutan Simpan Lentang dikelaskan sebagai Hutan Tadahan Airyang diwartakan semenjak 2002," katanya selepas meninjau kawasan Kampung Telemong, di sini, hari ini.

Turut sama Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad dan Pegawai Hutan Daerah (PHD) Bentong, Haffiz Baharuddin.

MOHD Hizamri (kanan) meninjau timbunan kayu di jambatan Kampung Seri Telemong. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHD Hizamri (kanan) meninjau timbunan kayu di jambatan Kampung Seri Telemong. FOTO Mohd Rafi Mamat

Mohd Hizamri berkata, kepala air yang berlaku turut berpunca daripada Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang mengalir daripada Hutan Simpan Lentang yang kemudiannya melalui kawasan Tanah Milik sebelum tersangkut di jambatan.

Beliau menambah, antara bukti tidak ada aktiviti pembalakan di kawasan terbabit ialah pokok pelbagai saiz tumbang dan hanyut selepas tercabut bersama akar dab tidak ada kesan tebang.

Katanya, penduduk di kawasan terbabit turut melihat kejadian kepala air yang begitu deras dan menghanyutkan bersama balak termasuk sisa pokok.

"Saya berharap masyarakat tidak terus menyalah kerajaan dalam hal ini kerana kita sentiasa berusaha menjaga alam sekitar serta kepentingan masyarakat setempat.

"Kejadian banjir yang berlaku minggu lalu dianggap luar biasa berikutan hujan yang berlaku selama tiga hari berturut-turut," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Sri Telemong, Yeong Onn Hong berkata, arus air deras membawa bersama sisa pokok yang patah dan tercabut seterusnya tersekat dekat jambatan Kampung Sri Telemong.

"Di kawasan ini tidak terdapat aktiviti pembalakan dan sebagai penduduk setempat saya memberi jaminan kejadian balak hanyut disebabkan kepala air yang terlalu deras," katanya.

POKOK balak yang tercabut dibawa arus ke jambatan Kampung Seri Telemong. FOTO Mohd Rafi Mamat
POKOK balak yang tercabut dibawa arus ke jambatan Kampung Seri Telemong. FOTO Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 5:01 PM