DAUN kering disyaki ganja dirampas dalam serbuan pertama. FOTO ihsan Polis
DAUN kering disyaki ganja dirampas dalam serbuan pertama. FOTO ihsan Polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Enam lelaki disyaki ahli sindiket mengedar dadah ditahan bersama 4.92 kilogram (kg) ganja dalam dua serbuan di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam serbuan pertama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 27 tahun dalam Toyota Fortuner di parkir kondominium di Sri Damansara, di sini pada 6.30 petang.

"Hasil pemeriksaan menemui dua ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 2.03 kg. Ketiga-tiga suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan maklumat daripada serbuan pertama, polis menahan tiga lagi lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun dalam serbuan kedua di rumah di Sungai Buloh pada 7.45 malam.

"Pemeriksaan dalam rumah menemui dadah jenis ganja dianggarkan seberat 2.89 kg. Turut disita tiga kenderaan jenis Isuzu D-Max, Proton Saga dan Perodua Myvi.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek 4 dan 5 positif dadah jenis tetrahydrocannabinol manakala suspek enam negatif," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati, seorang daripada suspek dalam serbuan pertama mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah manakala yang lain tiada sebarang rekod.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah kedua-dua serbuan dianggarkan RM12,320.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (1)(a) akta sama yang membawa hukuman mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 6:37 PM