Ekhwan Haque Fazlul Haque

Petaling Jaya: Kegiatan penuntut kolej swasta dari Timur Tengah mengedar dadah di sekitar Sungai Way dan Damansara, di sini, dilumpuhkan polis.

Lima lelaki warga asing itu termasuk seorang penganggur warga tempatan berusia 20 hingga 34 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah pangsapuri Sungai Way dan di Persiaran Golf di Shah Alam pada 22 hingga 23 Julai lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid berkata, hasil serbuan berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 11.5 kilogram dianggarkan bernilai RM34,731.

Menurutnya, suspek akan menjual dadah berkenaan dalam paket kecil dengan nilai RM100 untuk tiga gram kepada rakan kolej warga asing.

"Suspek hanya akan menjual dadah berkenaan kepada pelanggan yang dikenali secara bersemuka untuk elak kegiatan dikesan.

"Suspek menjadikan penuntut kolej warga asing sekitar Sungai Way dan Damansara sebagai pelanggan dan semua bayaran dibuat secara tunai," katanya sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

MOHAMAD Fahkrudin (kiri) menunjukkan dadah ganja yang dirampas. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
MOHAMAD Fahkrudin (kiri) menunjukkan dadah ganja yang dirampas. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque

Beliau berkata, suspek akan mendapatkan bekalan ganja daripada seorang individu lain sebelum diproses dan dibungkus untuk dijual.

Katanya, suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan haram ini sejak empat bulan hingga setahun.

"Polis juga merampas pelbagai peralatan pembungkusan dadah selain kereta yang digunakan untuk kegiatan ini.

"Dadah yang dirampas juga dianggarkan boleh dibekalkan kepada 11,577 penagih," katanya.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, hukuman gantung boleh dijatuhkan kepada suspek jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 1:18 PM