Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 10 individu termasuk seorang peniaga kedai runcit ditahan selepas terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Sungai Kayu Ara dan Bandar Utama, dekat sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan pertama pada 9 malam itu menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang juga pemilik kedai runcit.

"Pemeriksaan menemui satu plastik yang mengandungi dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 505 gram di dalam peti ais dan dianggarkan bernilai RM24,000.

"Hasil soal siasat polis kemudian menyerbu sebuah rumah berhampiran kedai runcit itu sebelum menemui 12 plastik mengandungi dadah jenis ganja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, susulan tangkapan suspek, polis memberkas tujuh lagi lelaki berusia 19 hingga 25 tahun dalam serbuan pada 10 malam di sebuah rumah lain di lokasi sama.

"Salah seorang suspek menunjukkan kotak ais yang di dalamnya terdapat satu beg galas berisi tiga ketulan mampat dadah ganja seberat 530 gram dan 35 peket dadah jenis sama seberat 325 gram.

"Dua lagi lelaki berusia 29 dan 30 tahun turut ditahan dalam serbuan ketiga pada 10.25 malam di sebuah premis di Bandar Utama pada hari yang sama," katanya.

Menurutnya, susulan tangkapan dua suspek berkenaan polis merampas dadah jenis ganja seberat 1,780 gram di dalam sebuah bilik.

"Polis turut menyita wang tunai RM35,000 dan sebuah kereta Honda Civic. Semua individu berkenaan ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 5:24 PM
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal menunjukkan antara barang, wang dan dadah jenis ganja yang dirampas   pada sidang media Jenayah dan Narkotik di IPD daerah Petaling Jaya. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal menunjukkan antara barang, wang dan dadah jenis ganja yang dirampas pada sidang media Jenayah dan Narkotik di IPD daerah Petaling Jaya. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD