Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Perjalanan kereta api Ekspres Timuran dari Tumpat ke Johor tergendala apabila enjinnya tiba-tiba terbakar.

Kejadian berlaku pada jam 10.30 malam tadi sebaik kereta api yang membawa 296 penumpang itu bergerak dari Stesen Tanah Merah selepas mengambil penumpang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman berkata, api keluar dari enjin di bahagian kepala kereta api selepas kira-kira 500 meter memulakan perjalanan dari stesen berkenaan.

"Api tiba-tiba muncul di bahagian enjin ketika kereta api tiba di kawasan Taman Tasek Kiara iaitu kira-kira 500 meter daripada Stesen Tanah Merah.

"Seramai 12 pegawai dan anggota bertungkus lumus memadamkan api yang membabitkan kebakaran sebanyak 90 peratus.

"Semua penumpang selamat namun seorang penolong pemandu mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Tanah Merah serta dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Zulkifli berkata, api dapat dikawal jam 11.50 malam tadi namun pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang menjalankan kerja menunda bahagian gerabak yang terjejas.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

KEBAKARAN membabitkan kepala kereta api berpunca dari enjin yang tiba-tiba mengeluarkan api dalam kejadian di Taman Tasek Kiara jam 10.30 malam tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
KEBAKARAN membabitkan kepala kereta api berpunca dari enjin yang tiba-tiba mengeluarkan api dalam kejadian di Taman Tasek Kiara jam 10.30 malam tadi. FOTO IHSAN PEMBACA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 12:52 AM