KEADAAN Perodua Rusa yang dilanggar oleh kereta api di Kilometer 21.5 Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut, Papar. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN Perodua Rusa yang dilanggar oleh kereta api di Kilometer 21.5 Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut, Papar. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Papar: Palang landasan tidak berfungsi dipercayai punca kereta api merempuh sebuah kereta di Kilometer 21.5, Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut di sini, semalam.

Bagaimanapun, pada kejadian 6.08 petang itu, pemandu Perodua Rusa iaitu lelaki berusia 42 tahun hanya cedera ringan dengan luka calar di kepala, manakala tiga penumpang tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati kereta api dari Stesen Kereta Api Sembulan menuju ke Beaufort.

Sebaik tiba di lokasi, Perodua Rusa itu tiba-tiba berhenti di atas laluan kereta api.

Katanya, pemandu kereta api kemudian membunyikan hon isyarat ketika menghampiri lokasi dan cuba menekan brek namun gagal, lalu melanggar kenderaan berkenaan.

"Pemandu kereta api dipercayai hanya menyedari kehadiran kereta dalam jarak kira-kira 20 meter, menyebabkan perlanggaran itu tidak dapat dielakkan.

"Dalam kereta itu, terdapat empat lelaki dan semuanya sempat keluar dari kenderaan sebelum perlanggaran.

"Pemandu itu cedera ketika cuba menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika Perodua Rusa lalu di atas landasan kereta api itu, tiba-tiba enjin kenderaan mati, menyebabkan kenderaan tidak dapat bergerak.

Katanya, pemandu Perodua Rusa mengatakan tidak menyedari akan ada kereta api yang lalu di kawasan berkenaan kerana palang landasan tidak turun dan menutup laluan berkenaan.

Kamaruddin berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 9:25 AM