ANAK asnaf di Chow Kit. FOTO arkib NSTP
ANAK asnaf di Chow Kit. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menawarkan khidmat kaunseling kepada penghuni kawasan Chow Kit, di sini, yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan hingga menyebabkan semangat anak mereka untuk belajar kian pudar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pihaknya akan membantu melalui aspek khidmat kaunseling kepada golongan ibu bapa dan kanak-kanak di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya juga akan menilai bantuan yang wajar disalurkan kepada golongan berkenaan berdasarkan kelayakan mereka.

"JKM akan menemubual penjaga atau ibu bapa bagi melihat kelayakan mereka seperti hilang upaya untuk berkerja atau sakit untuk menerima bantuan bulanan.

"Orang susah (bertaraf asnaf) yang tidak mampu menjaga anak, boleh ditempatkan di institusi JKM, tetapi itu adalah langkah terakhir kerana seboleh-bolehnya JKM tidak mahu memisahkan anak dengan ibu bapa," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan muka depan Harian Metro, semalam mengenai situasi kehidupan anak asnaf di Chow Kit yang tinggal di bilik sewa keluarga yang sempit dan tidak kondusif sekali gus membuatkan semangat untuk mengulang kaji pelajaran 'malap'.

Namun jauh di sudut hati, ibu bapa kepada anak-anak penghuni lorong ini mahu mereka berjaya dalam pelajaran kerana hanya itu satu-satunya jalan keluar untuk mereka dari kehidupan sukar yang ditempuhi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 3:49 PM