Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Nasib kanak-kanak lorong di Chow Kit yang dilapor muka depan Harian Metro sebelum ini bergema di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim mengetengahkan isu daripada laporan itu ketika membahaskan usul Belanjawan 2023.

Katanya, keciciran pelajaran membabitkan kanak-kanak di Chow Kit seharusnya tidak dipinggirkan kerajaan.

"Berdasarkan laporan Harian Metro, ibu bapa anak lorong bimbang dengan masa depan anak-anak mereka yang semakin hari semakin hilang minat belajar.

"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan," katanya.

Roslan menggesa Kementerian Pendidikan tampil dengan penyelesaian tuntas untuk menyelamatkan, bukan sahaja kanak-kanak di Chow Kit tetapi di kawasan lain yang mempunyai kanak-kanak kurang motivasi untuk belajar.

Kanak-kanak lorong Chow Kit dilapor tinggal di bilik sempit, tidak kondusif selain mereka juga mengalas perut dengan makanan disumbangkan oleh pihak yang prihatin.

Dilaporkan anak lorong juga mengalami keciciran dalam pelajaran sehingga ada yang masih belum mampu membaca dengan baik.

ROSLAN ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
ROSLAN ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 6:48 PM