LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Sindiket penyeludupan rokok dikesan mula menjadikan kawasan Utara Terengganu sebagai lokasi pendaratan dan penyimpanan sejak tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia berdasarkan maklumat dan beberapa siri tangkapan yang dijalankan pihaknya sebelum ini yang banyak tertumpu di kawasan sekitar Besut, Setiu dan Batu Rakit, Kuala Nerus.

Beliau berkata, sindiket berkenaan sebelum ini dikatakan menjadikan negeri jiran iaitu Kelantan sebagai lokasi pendaratan dan penyimpanan, namun kini menukar modus operandi ke Terengganu.

"Sebelum ini, pendaratan rokok seludup ini kita percaya di negeri jiran iaitu Kelantan tetapi trend itu mula berubah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu tahun lalu apabila sindiket ini mula beralih ke daerah Besut dan Setiu.

"Ini dibuktikan dengan beberapa kali rampasan yang dibuat oleh pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Besut di kawasan Besut sehingga ke pantai Batu Rakit, Kuala Nerus" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa

Rohaimi berkata, semua ketua polis daerah yang berkaitan iaitu Besut, Setiu dan Kuala Terengganu diminta membentuk pasukan khas pada hujung tahun lalu bagi mengekang kegiatan penyeludupan termasuk rokok seludup di negeri ini.

Katanya, pembentukan pasukan khas itu dengan pasukan sedia ada ternyata membuahkan hasil berdasarkan beberapa siri rampasan.

"Namun, kita percaya sindiket ini menggunakan khidmat tonto bagi memerhati pergerakan polis di kawasan berkenaan menyebabkan kita tidak dapat menangkap suspek di sebalik kegiatan ini.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan pembabitan beberapa anggota berikutan berlaku kebocoran maklumat setiap kali operasi dijalankan.

"Dalam hal ini, kita akan melakukan sekatan jalan raya lebih kerap supaya mereka tidak mengambil kesempatan menjadikan kawasan di sebelah utara Terengganu ini sebagai laluan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Rohaimi berkata, pihaknya berjaya merampas pelbagai rokok seludup bernilai hampir RM4 juta menerusi Ops Kontraban dalam tempoh tiga tahun bermula 2021.

Katanya, seramai 28 individu berjaya ditahan dalam tempoh sama menerusi beberapa operasi yang dijalankan.

"Kesemua operasi itu dijalankan IPK Terengganu, Briged Tenggara PGA, Bahagian Siasatan Khas (JSJ) Bukit Aman, Batalion 9 PGA, Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA)/Siasatan Khas Bukit Aman dan PGM," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan daerah Setiu dan Besut didakwa menjadi hab penyeludupan rokok haram yang dibawa masuk menerusi Tak Bai, Thailand.

Sindiket yang didalangi dua warga tempatan berasal dari Kelantan itu kini menguasai aktiviti haram di Terengganu membabitkan nilai pasaran puluhan juta ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 3:39 PM